berita

‘Dicabul Selain Turut Dipaksa Lakukan Seks Oral..’ – Polis Terima 6 Laporan Berkaitan Pendakwah Selebriti

December 1st, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Baru-baru ini, seorang pendakwah selebriti telah ditahan reman atas dakwaan merogol seorang gadis pada tahun lalu. Walaupun begitu, suspek sekali lagi ditahan selepas pihak polis menerima beberapa laporan baru berkaitan kes cabul dan rogol.

Laporan daripada mangsa cabul

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, suspek sebelum ini telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol seorang gadis pada bulan September tahun lalu.

Tetapi isu tersebut tidak terhenti disini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seorang lagi mangsa yang juga merupakan pelajar kolej telah tampil membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul suspek.

Menurut mangsa, kejadian tersebut berlaku pada 17 Oktober lalu iaitu sekitar jam 1 pagi. Pada ketika itu, suspek telah mengajak mangsa ke rumahnya untuk mengajar tentang pemasaran perniagaan.

Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral. Berikutan kejadian itu mangsa mengalami trauma dan kini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Enam laporan baru diterima

Lebih mengejutkan apabila mengetahui sehingga semalam, pihak polis telah menerima sebanyak enam laporan kes cabul dan rogol yang membabitkan pendakwah selebriti itu. Menurut sumber, selain pelajar kolej, seorang guru turut tampil membuat laporan mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol suspek.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, jika diikutkan, tempoh tahanan reman pendakwah selebriti ini telah berakhir. Tetapi disebabkan beberapa laporan baru telah diterima maka perintah reman akan dipohon bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mencederakan).

Sementara itu, pihak polis menyeru kepada mangsa lain untuk tampil membuat laporan polis.

Sumber: Harian Metro, Astro Awani

SKIP THIS AD ×