Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan beliau membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta menyokong ideologi komunis.
Ucap pada kempen pilihan raya
Selaku plaintif, Anwar mendakwa defendan berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur. Ucapan tersebut disiarkan secara langsung di akaun Facebook defendan. Lebih 94 ribu tontonan dan 2600 komen yang diraih menerusi video tersebut.
Tambah Anwar, menerusi siaran video tersebut juga sebuah artikel bertarikh 6 November telah diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di dalam sebuah portal berita. Di samping itu, Anwar mendakwa kata-kata fitnah tersebut dan penerbitan artikel berkenaan antara lain membawa maksud beliau adalah seorang penipu, mengamalkan dan menyokong ideologi komunis serta menggalakkan perkahwinan sejenis.
Ujar Anwar, kata-kata fitnah itu dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam dan mengecam semua dakwaan agenda LGBT selain memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus.
Sumber: Harian Metro