Seorang remaja lelaki yang juga cucu kepada penyanyi terkenal era 70-an didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul sepupunya yang juga cucu kepada selebriti berpangkat Datuk itu.
Artikel Berkaitan: Ustaz Perkosa, Cabul 15 Murid Bawah Umur
Mengaku tidak bersalah
Menerusi laporan Harian Metro, remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuannya yang berusia 17 tahun juga bagi tujuan seksual di sebuah kediaman di Jalan Gasing Seksyen 5, di sini, pada 3 pagi, 15 Oktober lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, prosiding dijalankan secara tertutup berikutan membabitkan pesalah kanak-kanak bawah umur.
Majistret Farah Azura membenarkan ikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala peguam Datuk Suraj Singh mewakili remaja itu.
Sumber: Harian Metro