Mahkamah Rayuan memerintahkan pelakon dan penyanyi terkenal iaitu Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Osman membayar ganti rugi berjumlah RM80,000 kepada Rozana Misbun kerana telah mencederakan bekas isterinya itu tujuh tahun lalu.
Datuk Awie didenda RM80,000
Memetik laporan Harian Metro, perintah tersebut dibuat selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Awie dan mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.
Berikutan daripada itu, Datuk Awie diperintahkan membayar sebanyak RM30,000 bagi ganti rugi kecederaan dan RM50,000 ganti rugi teruk kerana tekanan serta rasa malu yang dilalui bekas isterinya itu. Menurut sumber, penyanyi terkenal itu juga diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM15,000 bagi tuntutan guaman Rozana.
Didakwa lakukan 3 serangan
Terdahulu, Rozana telah memfailkan saman menuntut ganti rugi kepada Datuk Awie kerana melakukan tiga serangan terhadap dirinya sehingga mendatangkan kecederaan antaranya keretakan dua tulang rusuk, lebam di muka dan beberapa bahagian lain.
Pada 4 Julai 2014, Datuk Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka di Ukay Perdana, Hulu Klang pada 2 Jun 2014. Bagaimanapun, pada 7 Mac 2016, Awie dibebaskan daripada tuduhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara Awie membayar pampasan RM10,000 dan memohon maaf di mahkamah terbuka.
Pada Mei 2016, Datuk Awie turut didakwa bagi kes kedua iaitu mencederakan Rozana di kaunter PNB dan penyanyi itu telah mengaku bersalah serta didenda sebanyak RM2,000.
Hakim memaklumkan tiada pertuduhan dikenakan terhadap Datuk Awie bagi insiden ketiga yang didakwa berlaku di kawasan parkir PNB, namun Rozana telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Datuk Awie bagaimanapun menafikan bahawa insiden ketiga itu berlaku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana atas dakwaan pecah amanah kerana telah menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak mereka. Bagaimanapun, tuntutan balas itu telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian