Menjadi kekasih hati kepada selebriti versatil Janna Nick membuatkan aktor Dini Schatzmann turut sama diperhati oleh warganet. Sering kali dilihat kerap bersama dengan Janna, Dini didakwa kononnya dia tiada pekerjaan atau tawaran berlakon.
Artikel Berkaitan: Dituduh Tidur Dengan Kekasih Ketika Bercuti, Janna Nick Enggan Layan Komen Netizen – ‘Kami Tak Pergi Berdua Malah Ada Keluarga’
Ada karier sendiri
Menjawab dakwaan itu kepada OhBulan!, Dini, 28, menafikan sekeras-kerasnya. Kata pemilik nama Dini Azan Schatzmann, dia sibuk dengan penggambaran dan hanya menggunakan masa terluang untuk bersama dengan Janna.
Pelakon kelahiran Switzerland ini juga mengakui sangat meminati bidang seni visual justeru dia mula berjinak dengan menjadi jurukamera kepada kekasihnya itu.
Saya ada karier sendiri dan sibuk juga dengan penggambaran. Saya selalu mengikuti Janna untuk bantu diri dan juga karier.
Bila saya jumpa dia, saya buat kerja saya bukan buat kerja untuk dia. Saya memang minat bab kamera. Jadi, tempat yang terbaik untuk saya belajar adalah dengan Janna.
Dia orang yang akan tegur kesalahan saya. Kalau saya ambil kelas dengan orang lain, mungkin progres akan slow. Kalau ikut Janna, dia akan jujur dan tak akan puji saya (jika tak memuaskan).
Sebab itu, bila saya tak ada penggambaran, saya nak explore karier baru iaitu menjadi jurukamera.
Dini ditemui ketika majlis pelancaran produk terbaharu Janna iaitu White Fluffy di De.Wan 1958 by Chef Wan @ The Linc, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dah bincang tarikh kahwin
Bercerita mengenai hala tuju percintaan, pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek menyatakan mereka berdua mempunyai perancangan untuk menghalalkan hubungan namun enggan berkongsi lebih lanjut.
Kami ada juga berbincang mengenai tarikh kahwin. Sudah tentu ada perbincangan tentang perkara itu memandangkan hubungan kami memang serius.
Buat masa sekarang memang ada perancangan tapi saya rasa belum tiba masa untuk kongsikan. Tapi bila semuanya sudah pasti, Insya-Allah kami akan umum.
Sebelum ini, Janna dan Dini dituduh tidur sebilik ketika bercuti ke London pada bulan lalu. Namun, Janna menepis dakwaan tidak logik dengan mendedahkan percutian itu turut disertai ahli keluarga, barisan pelakon telefilem arahannya serta krew produksi.
Sekadar info, Dini dan Janna mula menjalin hubungan cinta sejak Jun 2019.
Sumber: Instagram @dinischatzmann