Sebuah syarikat hiasan dalaman dan perabot telah menyaman pengacara dan pelakon, Awal Ashaari dan dua defendan lain kerana didakwa memfitnah syarikat tersebut.
Menerusi laporan Malaysia Gazette, syarikat tersebut menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta setelah menerima ugutan undang-undang tanpa henti daripada artis tersebut.
Muat naik pelbagai Instagram Stories
Menurut syarikat hiasan dalaman dan perabot Naz Carpentry, mereka telah memfailkan saman terhadap Awal Ashaari bersama dua defendan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Jumaat minggu lalu melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubara, Advocates and Solicitors. Awal Ashaari dan dua defendan tersebut disaman sebanyak RM3 juta.
Awal Ashaari, seorang pengguna Instagram dengan hampir lima juta pengikut di laman media sosial tersebut dilaporkan memuat naik pelbagai Instagram Stories di antara November 2019 dan November 2020. Beliau didakwa telah merosakkan imej, jenama, dan reputasi syarikat hiasan dalaman yang terkenal itu.
Syarikat hiasan dalaman itu turut mendakwa bahawa hantaran, catatan dan komen fitnah oleh Awal memberi gambaran negatif mengenai organisasi tersebut, selain menjejaskan kedudukan syarikat tersebut dalam industri, serta menyebabkan mereka kehilangan pendapatan.
Tidak mendapat sebarang balasan
Surat tuntutan telah dihantar kepada Awal Ashaari 13 Oktober 2020 dan 19 Oktober 2020 tetapi tidak mendapat sebarang balasan. Oleh itu, anak guam kami telah memutuskan untuk menyaman kerana pihak defendan tidak berminat untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh kerana surat tuntutan telah dikirim kepada Awal Ashaari, cara yang betul adalah untuk Awal Ashaari melantik seorang peguam untuk membalas notis tersebut tetapi sehingga ke hari ini, kami belum menerima balasan dari pihak beliau.
Menurut peguam, Nurul Hafidzah Hassan, anak guamnya itu bagaimanapun tidak akan bertindak balas terhadap ancaman dan ugutan yang dibuat oleh Awal dan yang telah diterbitkan oleh pelbagai pihak ketiga.
‘Cabar datang jumpa aku’ – Awal
This is my last warning to make you call me, OR speak to my lawyer about this. Aku tak kan teragak agak untuk siarkan wajah korang berdua kat IG ni, if still tak dapat kerjasama dari korang. Kau tak jawab pertanyaan media 3 minggu lepas sebab konon nya takde persediaan secara proffesional dan takut buat kenyataan salah.
Habis tu, Kau tak jawab pertanyaan Aku, YOUR PAID CLIENT selama berbulan bulan ni? Kau nak bersedia secara proffesional jugak ke? Come on. Buat business biar beradap. BERETIKA. Aku bukan mintak Kau SPONSOR. Aku agree bayar FULL price, apa yang Kau charge Aku, satu sen pun Aku tak mintak discount sebab aku nak tolong bisnes orang melayu.
Tu pun Aku baik hati lagi tak mintak semua, Aku kasi company Kau absorb 20% untuk cover losses Kau. Tak bersyukur jugak lagi? Alih alih, orang melayu jugak yang buat naya kat orang melayu. So stop turn the table around and kengkonon Aku yang naya dan fitnah Kau. Kalau KAU tak CANCEL meeting kat office lawyer haritu, Kalau Kau JAWAB call Aku or lawyer aku. Benda ni takkan jadi. So stop this drama because I have all the evidence to bring you down.
Terdahulu, Awal didakwa mencabar syarikat kontraktor tersebut yang mendakwa dia memfitnah dan memburuk-burukkan nama syarikat itu di Instagram Story untuk datang bersemuka dengannya. Malah, Awal dipercayai mempunyai segala bukti membabitkan sebut harga, maklumat pembayaran, kiriman e-mel dan perbualan WhatsApp dengan kontraktor syarikat tersebut berhubung kerja-kerja mereka yang tidak memuaskan hatinya.
Sumber: Malaysia Gazette & Awal Ashaari