berita

Diejek & Ditampar Hingga Trauma, Ibu Kongsi Derita Anak Melayu-Afrika

October 10th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Sejak kebelakangan ini, isu mengenai warna kulit semakin sensitif dan sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat kita. Malah, perkara ini turut memberikan kesan terhadap psaikologi dan kehidupan individu tersebut.

Menurut laporan Metro, Noraini Mokthar dan Saliza Zainal menceritakan anak-anaknya turut berdepan dengan tekanan emosi dan sering disisihkan rakan sebaya. Malah, perkahwinan Noraini bersama suami warganegara Nigeria juga dipandang negatif oleh masyarakat.

Sudah jangka perkara ini berlaku

Noraini sudah menyangkakan persepsi negatif dari masyarakat terhadap keputusan perkahwinannya itu bersama seorang lelaki Nigeria. Malah, dia sudah menyangkakan anak-anaknya turut mendapat kesan yang sama.

Selepas berkahwin memang saya jangka perkara ini berlaku terutama melihat reaksi masyarakat yang memandang negatif perkahwinan campur dengan lelaki berkulit hitam. Jika saya sendiri menerima kata-kata negatif tidak mustahil anak turut menghadapinya.

Dia turut mengakui cabaran yang dilaluinya sangat hebat terutama apabila berhadapan masyarakat sepanjang bergelar isteri kepada Eze Victor Mmaduabuchukwu pada tahun 2011.

Pernah saya berjalan jauh daripada Eze atau meninggalkannya di rumah hanya kerana tidak mahu orang melihat kami sebagai pasangan suami isteri.

Anak saya pernah ditampar

Tambah memilukan lagi apabila anaknya, Fatimah Eze Giff Onyiyechi dan Siti Sarah Eze berdepan persepsi negatif dari kawan di sekolah. Malah, Fatimah tidak diterima rakan sekelas disebabkan kulitnya yang gelap.

Fatimah pernah mengadu diketawakan apabila mereka melihat rambut kerintingnya ketika ambil wuduk. Tidak sekadar mengejek kerana berkulit gelap, anak saya pernah ditampar.

Malah, anak-anaknya itu tidak mahu ke sekolah dan kerap menangis kerana trauma dengan ejekan rakan-rakan. Ibunya itu mengambil tindakan dan mengadu kepada guru kelas. Akhirnya, selepas dipujuk berkali-kali barulah Fatimah mahu ke sekolah semula.

Saya selalu beritahu anak semua ciptaan Allah sama. Kulit hitam atau putih, darah kita sama merah. Warna kulit dan bangsa tidak membezakan kedudukan manusia pada pandangan Allah.

Pernah dipanggil ‘busuk’

Sementara itu, Saliza Zainal juga berdepan dengan masalah yang sama membawa anak sulungnya, Nur Ajua Aishah Quanoo Kofi mendaftar di sekolah kebangsaan sekembalinya ke Malaysia selepas menetap di Ghana selama lima tahun.

Komunikasi menjadi masalah utama disebabkan Aishah langsung tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Namun selepas enam bulan sedikit demi sedikit dia mula fasih dan memahami bahasa Melayu.

Paling mengguris hati apabila dia dipanggil ‘Busuk’. Namun Aishah tidak pernah membalas ejekan mereka. Mujur cikgu sangat memahami tambahan pula Aishah menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah kerana mudah menghafaz al-Quran malah peribadinya disenangi semua guru.

Masyarakat anggap semua lelaki kulit hitam sama

Saliza turut mengakui dia menerima pandangan skeptikal masyarakat ketika awal mendirikan rumah tangga dengan Quanoo Kofi pada tahun 2004.

Mungkin disebabkan cara didikan suami saya di Ghana seperti bercakap lantang dan kasar menyebabkan masyarakat menganggap semua lelaki kulit hitam sama. Saya selalu katakan kepadanya membiarkan andaian orang pada kita. Apa yang penting kita tunjukkan peribadi yang baik.

Saya tidak menyangkal ada warga kulit hitam melakukan jenayah, mengganggu anak dara orang dan kasar, yang menyebabkan timbulnya persepsi negatif. Namun bukan semuanya begitu. Suami saya sendiri lebih suka bergaul dengan orang Melayu berbanding rakan senegara.

Ibu bapa mulanya tidak setuju

Gambar hiasan

Saliza turut berkongsi detik-detik pengenalan bersama Quanoo Kofi itu dan mempercayai jodoh yang ditentukan Allah.

Kami bertemu ketika saya bertugas sebagai jururawat manakala Quanoo pesakitnya. Oleh kerana hanya saya fasih berbahasa Inggeris dalam kalangan jururawat menyebabkan saya terpaksa berkomunikasi dengan Quanoo setiap hari.

Bermula dari situ kami sering berhubung sehingga suatu hari dia menyatakan ingin melamar saya. Mulanya ibu bapa tidak bersetuju namun mereka melihat perubahan drastik saya seperti menukar penampilan kepada bertudung dan mendengar kata selepas berkenalan dengan Quanoo. Kami diijabkabulkan pada 2004 selepas enam bulan berkenalan.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×