Seorang wanita maut dalam satu kejadian samun di mana wanita itu dipercayai dijerut kabel pengecas telefon di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera, hari ini.
Larikan wang & kereta
Memetik laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek dikatakan telah memasuki rumah berkenaan pada awal pagi menerusi pintu belakang sebelum ke bilik tidur mangsa yang berusia 52 tahun itu.
Mangsa dipercayai telah dijerut dengan kabel pengecas telefon, manakala suami mangsa berusia 60 tahun turut cedera di bahagian kepala.
Mohd Yusri berkata, suspek telah melarikan wang tunai kira-kira RM6,000 dan sebuah kereta jenis Honda City milik suami mangsa.
Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: BERNAMA