berita

Dijumpai Telanjang Dalam Kotak Tanpa Identiti, Ini 3 Teori Kematian Misteri ‘Boy In The Box’

September 23rd, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

“Boy in the Box” adalah nama yang diberikan kepada seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 4 hingga 6 tahun yang meninggal dunia akibat dibunuh.

Mayatnya ditemui dalam keadaan telanjang dan mempunyai kesan pukul di Fox Chase, Philadelphia, Pennsylvania, pada 25 Februari 1957. Sehingga ke hari ini, identiti dan punca kematian budak lelaki tersebut masih menjadi tanda tanya orang ramai.

Luka berbentuk ‘L’

Pada bulan Februari 1957, seorang pemburu haiwan telah menemui sebuah kotak kecil di dalam hutan. Sebaik sahaja membuka kotak tersebut, dia menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki yang bogel serta dibaluti dengan selimut. Lelaki tersebut tidak membuat sebarang laporan polis kerana bimbang dirinya akan didakwa. Ini kerana, pada masa tersebut dia telah melakukan pemburuan secara haram.

Selang beberapa hari selepas itu, seorang pelajar universiti yang dikenali sebagai Frederick Benosis telah melalui kawasan yang sama. Frederick pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana dia sedang mengintip seorang gadis di sekolah berhampiran. Namun, setelah diberi dorongan oleh paderi, Frederick akhirnya membuat laporan.

Menerusi laporan bedah siasat, Dr Joseph Spelman menganggarkan umur budak tersebut berusia lingkungan 4 hingga 6 tahun. Tambahnya, dia terjumpa kesan luka berbentuk ‘L’ di bawah dagu mangsa. Jelas Dr Joseph lagi, mangsa dipukul di kepala dengan sebuah objek sehingga meninggal dunia. Mayat mangsa juga ditenggelamkan di dalam air sebelum ditinggalkan di dalam kotak.

Identiti masih tidak diketahui

Pada 26 Februari, pihak polis berjaya mendapatkan cap jari mangsa. Mereka turut yakin identiti mangsa bakal diketahui tidak lama lagi. “Boy in the Box” digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang mempunyai mata biru, rambut coklat, kulit yang cerah dan seorang yang sangat kemas. Kuku dan rambutnya kelihatan sangat nipis sewaktu mayat ditemui.

Pakar perubatan turut membuat andaian mengenai kesan lebam yang kelihatan di badan mangsa. Mereka berpendapat bahawa kanak-kanak itu telah terbaring di dalam kotak antara dua hingga tiga hari atau dua hingga tiga minggu. Cuaca yang sejuk juga merupakan penyebab mangsa berada di dalam kotak.

Pihak polis turut kecewa kerana tiada ibu bapa yang datang melaporkan mengenai kehilangan anak. Susulan daripada itu, mereka telah mengeluarkan gambar mangsa dan berharap orang awam mengetahui identiti mangsa. Kes tersebut telah mendapat perhatian media. Sebanyak 400 ribu risalah telah diedarkan oleh pihak media buat penduduk di sekitar Philadelphia.

Kubur digali semula

Hari berganti hari, masih tiada seorang pun orang awam yang mengenali mangsa. Lebih menyedihkan, cap jari dan tapak kaki mangsa tiada dalam pengkalan data negara dan rekod hospital. Berbalik kepada tinjauan dan pemeriksaan di lokasi mayat mangsa dijumpai, pihak polis hanya menemui beberapa barang milik mangsa. Selimut yang membaluti tubuh mangsa turut dihantar ke Jabatan Forensik bagi tujuan siasatan.

Meskipun pihak polis dan pihak media telah bekerjasama dalam kes tersebut, mereka masih belum menemui jalan penyelesaian. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menutup kes tersebut. Mayat mangsa disemadikan di Potters Field iaitu kawasan perkuburan bagi individu yang tiada identiti di Dunks Ferry and Mechanicsville Roads.

Pada tahun 1988, kubur mangsa telah digali semula oleh para penyiasat untuk mendapatkan DNA. Pada ketika itu, DNA mayat mangsa sudah lemah dan tidak aktif. Tahun demi tahun mereka mencuba, akhirnya mereka mengambil gigi mangsa sebagai sampel DNA. Mayat mangsa telah dikuburkan semula di Ivy Hills, Cedarbrook.

Teori pertama

Suspek pertama dalam kes ini merupakan Frederick Benosis. Frederick dijadikan suspek kerana dia merupakan individu pertama yang menemui mayat mangsa. Namun, dia telah dilepaskan kerana lulus dalam ujian pengesan pembohongan. Disebabkan kekurangan petunjuk, pelbagai teori kematian telah dikeluarkan bagi menyelesaikan kes tersebut.

Teori pertama merupakan kisah wanita ‘M’. Pada tahun 2002, penyiasat dihubungi oleh seorang psikiatri dari Ohio. Psikiatri itu memberitahu salah seorang kliennya mempunyai kaitan dengan mangsa. Kliennya yang dikenali sebagai ‘M’ memberitahu ibu bapa mangsa telah menjual mangsa kepadanya. ‘M’ memberitahu ibu mangsa sering mendera anaknya itu. Penderaan itu berakhir apabila mangsa meninggal dunia. Bercerita dengan lebih lanjut, mangsa dipercayai muntah di bilik air menyebabkan ibu memukul mangsa sehingga mati.

Teori ini pada awalnya diterima baik oleh penyiasat. Ini kerana, ia selari dengan kajian yang menyatakan mangsa muntah dua tiga jam sebelum kematian. Maklumat yang diterima oleh ‘M’ tidak didedahkan oleh orang awam. Walau bagaimanapun, teori ‘M’ ditolak semula kerana wanita itu mempunyai masalah mental.

Teori rumah anak yatim

Foto: Rumah anak yatim

Teori kedua merupakan teori rumah anak yatim. Sebuah rumah anak-anak yatim yang terletak berhampiran lokasi kejadian merupakan tempat pertama yang diperiksa. Terdapat lapan orang kanak-kanak dipercayai menghuni di situ. Kesemua mereka telah disoal siasat dan diperiksa. Spekulasi mengenai pemilik rumah anak yatim yang enggan mengambil ujian pengesan pembohongan turut menjadi persoalan pada masa tersebut.

Teori terakhir

Foto: Steven Craig Damman

Teori terakhir merupakan teori anak juruterbang yang hilang. Pada 31 Oktober 1955, Steven Craig Damman, anak seorang juruterbang telah diculik. Ciri-ciri bentuk tubuh badan mangsa sama seperti anak juruterbang tersebut. Namun, rekod kesihatan mereka tidak sepadan. Kes Steven juga dilaporkan tidak selesai sehingga hari ini.

Dokumentari ‘Boy in the Box’

Kisah ‘Boy in the Box’ ini turut dijadikan sebagai dokumentari khas. Selain dokumentari, kisah ini turut dijadikan filem pada tahun 2011. Malah, filem tersebut berjaya merangkul anugerah “Best Actor” and “Best Special Effects” di sebuah acara khas.

Sumber: Allthatinteresting & Reddict

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×