Di Balik Pulau, Pulau Pinang, mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam sebuah longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondek Upeh, semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, bayi malang yang masih bertali pusat itu juga ditemui dalam keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berkenaan.
Alami pendarahan
Sekadar gambar hiasan
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mayat bayi berkenaan ditemui pada pukul 2.30 petang selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau. Tambah Kamarul, doktor terbabit mendakwa menerima seorang pesakit wanita warga asing yang mengalami pendarahan pada rahim dan dipercayai baru bersalin.
Dikatakan pegawai perubatan menemui uri dalam rahimnya namun suspek enggan memberi kerjasama berhubung kelahirannya. Siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan semalam selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya pada 6 petang.
Hasil soal siasat, suspek mengaku telah membuang bayi tersebut di dalam longkang berdekatan rumah yang juga tempatnya bekerja. Suspek turut memaklumkan bahawa bayi tersebut dilahirkan dalam keadaan tidak bernyawa.
Niat nak tanam bayi
Ujar Kamarul, suspek mendakwa dia berniat menanam bayi tersebut selepas menyedari bahawa bayi itu sudah tidak bernyawa. Namun apabila sampai berdekatan longkang, wanita tersebut berasa mahu pengsan dan bayi berkenaan terlepas daripada pegangannya sebelum jatuh dalam longkang.
Suspek turut mendakwa sempat kembali ke rumah sebelum pengsan di dapur dan dibantu majikannya yang berusia 54 tahun. Suspek juga mengaku mengandung hasil hubungannya dengan pekerja kebun yang tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya. Suspek wanita itu ditahan di wad hospital ketika ini berikutan dia masih perlu mendapat rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai telah turun ke lokasi penemuan mayat bayi itu dan tempat kerja suspek bagi melakukan siasatan. Jelas Kamarul, mayat bayi itu akan dibedah siasat hari ini selepas pihaknya mendapat keputusan saringan Covid-19. Usaha mengesan lelaki yang dipercayai bapa bayi berkenaan sedang giat dijalankan juga.
Sumber: Harian Metro