Menerusi program ‘Realiti’ episod yang kelima, seorang bekas budak sekolah agama yang dikenali sebagai Amin tampil berkongsi mengenai kisah hitamnya sewaktu berusia 13 tahun.
Rasa macam dalam penjara
Menurut Amin, 28, kisah hitamnya bermula selepas ayahnya meninggal dunia. Sebagai anak tunggal, Amin telah dihantarkan ke sekolah agama dan duduk di asrama.
Saya anak tunggal dan ibu masih ada. Saya masuk sekolah agama sebab kasihan melihat ibu kerana berhadapan situasi yang sukar. Sekolah agama yang saya masuk tu tanggung semua. Mula-mula macam biasa, saya bergaul dengan kawan. Cuma jadual dan rutin harian kami lain tidak seperti budak sekolah biasa.
Kami 5 pagi dah bangun untuk subuh, waktu sarapan kena zikir, masuk kelas dan ada hafazan. Walaupun jadual padat, saya bersyukur sebab kawan-kawan semua baik.
Ujar Amin, setiap hari di asrama sudah pasti akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Namun begitu, Amin mula berasa pelik apabila rakan senior mereka tiba-tiba ‘hilang’ dan tidak kelihatan di sekolah pada waktu yang sepatutnya.
Saya pelik mereka tiada. Bila nak hujung minggu baru nampak mereka. Kadang-kadang mereka ada waktu malam selepas isyak. Waktu macam tu mereka nampak sangat letih. Bila kami tanya, mereka kata pergi berkhidmat. Mereka kata kami akan rasai nanti.
Selepas tiga bulan berlalu, Amin berkata dia dan sembilan orang lagi rakan telah dipanggil masuk ke dalam pejabat. Sewaktu berada di pejabat, mereka dipaksa keluar untuk menjual kismis dan air bacaan Al-Quran.
Kami dipaksa seawal solat Subuh dan dihantar jauh dari sekolah. Kami tak pergi sekolah. Keadaan macam ini dikatakan setiap minggu tiga hingga empat kali. Masa kena buat tu kami tak dapat makanan dan minuman. Sampai saya terpaksa meminta-minta dekat orang awam sebab haus dan penat.
Bila balik, kami kena bagi semua duit hasil jualan. Mereka akan suruh kami bogel sebab nak periksa sama ada kami sembunyi duit ataupun tidak. Ada suatu masa, kawan saya kena belasah. Dia simpan duit sedekah yang orang awam bagi untuknya. Saya jadi takut dan nekad nak lari.
Disoal sama ada Amin sempat lari dari asrama ataupun tidak, lelaki yang berasal dari Selangor ini memberitahu dia tidak sempat melakukan tindakan tersebut. Ini kerana, ada orang awam telah membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Saya tak lari kerana ada orang awam buat aduan. Sekolah kena tutup. Saya rasa lega. Cuma masih tak puas hati terhadap orang yang mengurus sekolah agama tersebut. Mereka hidup mewah, pakai kereta mahal, kaki melancong sana sini. Kami yang dalam sekolah seolah duduk dalam penjara. Kalau katil tak cukup tidur atas simen. Sedih pula kenang keadaan sebegitu walaupun saya masih ada ibu. Bagaimana perasaan anak yatim yang tiada ibu dan bapa.
Di akhir video, Amin berharap semua pihak pengurusan sekolah agama tidak mengambil kesempatan terhadap anak yatim yang berada di sekolah mereka. Buat ibu bapa di luar sana pula, Amin berharap mereka melakukan soal selidik terlebih dahulu mengenai latar belakang sekolah sebelum menghantar anak masing-masing.