Impian untuk memperoleh gaji lumayan dengan bekerja di luar negara bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia terperangkap dalam sindiket penipuan di Myanmar. Lebih malang, lelaki tersebut terpaksa menanggung derita akibat patah kaki, tulang rusuk serta cedera di kepala.
Tawar gaji lumayan
Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Cheah, episod deritanya bermula selepas melihat iklan kerja kosong yang menawarkan gaji RM4,000 sebagai pelayan di pusat karaoke di Bangkok, Thailand. Tambah Cheah, dia tertarik dengan iklan tersebut kerana gajinya lebih tinggi berbanding pekerjaan yang dilakukan pada waktu itu. Tanpa memaklumkan kepada ibu bapa, Cheah mengambil keputusan untuk bekerja di sana dan dijemput individu mendakwa ejen pekerjaan dengan menaiki kenderaan mewah dari Melaka ke Sungai Golok, Kelantan pada bulan Mac lalu.
Bagaimanapun, saya mula curiga apabila perjalanan dari Sungai Golok ke Bangkok menggunakan laluan tikus dan dimaklumkan perlu bekerja dengan sindiket penipuan.
Bercerita lebih lanjut, Cheah memberitahu selama tiga hari berada di Bangkok, dia dihasut untuk bekerja bagi pelbagai kegiatan penipuan termasuk ‘Love Scam’ yang menyasarkan mangsa dari seluruh dunia termasuk Taiwan serta Amerika Syarikat.
Saya kemudian dipindahkan ke sebuah penempatan di Myawaddy, Myanmar menggunakan laluan tikus. Di sana, saya lihat ada ramai individu tempatan (warga Malaysia) bekerja dengan sindiket terbabit.
Dipukul guna kayu besbol
Oleh kerana tidak mahu bekerja dengan sindiket tersebut, Cheah dipukul menggunakan kayu besbol dan ditolak dari tingkat tiga sebuah bangunan sehingga mengalami kecederaan yang sangat serius.
Saya dibawa individu tempatan ke hospital dan menerima rawatan lebih dua minggu atas kecederaan dialami.
Menurutnya lagi, dia sempat menghubungi ahli keluarga dan rakan untuk memaklumkan mengenai hal tersebut dan meminta bantuan untuk pulang namun, ahli keluarga diarah membayar RM120,000 untuk pembebasannya. Ujar Cheah, ahli keluarga dan rakan-rakannya berhasil mengumpul wang itu dan diserahkan kepada sindiket sebelum dia dihantar ke Mae Sot, Myanmar.
Dengan bantuan pihak kedutaan serta pihak berkuasa, saya berjaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Mei lalu. Saya bersyukur dapat pulang selepas hampir dua bulan jadi tawanan sindiket itu.
Sumber: Harian Metro