Bekas ratu cantik negara yang juga pelakon iaitu Shakila Saiful mendedahkan pernah menggugurkan janin kembarnya yang ketika itu baru berusia sebulan hasil persetubuhan luar nikah.
Gugur kandungan luar nikah
Foto: Shakila Saiful (Malaysia Gazette)
Shakila yang kini berusia 27 tahun ini memberitahu dia disahkan hamil anak luar nikah pada Januari tahun lalu dan selepas mengetahui mengenai kandungan tersebut, teman lelakinya itu seringkali memujuknya supaya menggugurkan kandungan.
Kehamilan saya turut berada di dalam pengetahuan bapanya yang saya panggil walid kerana suami saya sendiri memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang juga seorang tokoh agama bagi mendapatkan pandangan.
Dakwa Shakila, dia nekad melakukan perbuatan terkutuk (menggugurkan kandungan) itu selepas dipujuk oleh keluarga suami yang berlatarbelakangkan agama, dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya.
Walaupun saya bertegas untuk tidak mengugurkan kandungan saya, suami saya telah memujuk dan meyakinkan saya perbuatan mengugurkan kandungan itu tidak haram dan beliau turut berjanji akan mengahwini saya selepas saya menggugurkan kandungan.
Diceraikan lepas 8 hari keguguran
Foto: Shakila bersama peguam (Malaysia Gazette)
Difahamkan, Shakila dan teman lelakinya itu kemudian mendirikan rumah tangga pada 22 Mei tahun lalu. Enam bulan bergelar isteri, Shakila diuji apabila dia mengalami keguguran dipercayai kesan daripada pembuangan kandungan pernah dilakukan sebelum ini.
Saya tidak sangka saya akan diceraikan selepas lapan hari mengalami keguguran. Lebih menyedihkan selepas penceraian difailkan, suami dan keluarganya sudah tidak memperdulikan saya dan membiarkan saya menghadapi masalah ini seorang diri. WhatsApp dan panggilan telefon yang saya buat langsung tidak dibalas dan dijawab.
Saya bukan sahaja kehilangan anak kembar saya tetapi saya juga telah keguguran bayi yang saya kandungkan selapas perkahwinan kami.
Disebabkan itu, Shakila mendakwa mengalami kemurungan sehingga pernah membuat cubaan membunuh diri. Selepas mengadu nasib kepada keluarga mentua, Shakila mendakwa telah menerima ugutan bunuh oleh individu tidak dikenali.
Selain itu, terdapat juga video yang cuba memburuk-burukkan saya di Youtube yang dimuat naik oleh individu tidak dikenali. Selepas menerima ugutan dan kecaman tersebut saya telah melantik peguam bagi menasihati diri saya di mana setelah itu saya difahamkan bahawa fatwa yang dirujuk oleh suami saya dan bapanya tidak terpakai kepada saya yang mengandungkan anak luar nikah pada ketika itu.
Sumber: Malaysia Gazette