Walaupun banyak dakwaan yang mengatakan selebriti terkenal Noor Neelofa sedang hamil namun empunya diri memilih untuk tidak mengiyakan atau menafikan mengenai perkara tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Akan Menunggu Waktu Yang Terbaik’ – Neelofa Terus Berteka-Teki Dakwaan Hamil
Tak kisah jantina anak
Bagaimanapun, Neelofa, 32, bersikap terbuka berbicara mengenai jantina anak sekiranya dia disahkan hamil. Katanya ketika ditemui OhBulan!, dia tidak kisah sama ada anak lelaki atau perempuan kerana itu adalah rezeki yang dikurniakan Allah.
Soal jantina saya tidak kisah sebab semua itu rezeki dan susunan Allah. Lagipun kalau tanya kawan-kawan yang sudah ada anak perempuan, pasti impikan anak lelaki dan begitu juga sebaliknya.
Tak pernah bincang terlalu serius
Bercerita lebih lanjut, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor menyatakan dia dan suami, Pencetus Ummah (PU) Haris Ismail tidak pernah berbincang secara mendalam mengenai cahaya mata kerana mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga.
Namun, akui bekas hos MeleTOP, ahli keluarganya turut menanti berita gembira daripada mereka berdua dan dalam masa sama tidak putus mendoakan yang baik-baik.
Sejujurnya saya dan suami tak pernah tertekan atau berbincang terlalu serius mengenai anak sebab kami pun baru saja kahwin, jadi masih lagi dalam proses mengenali.
Bukan kami saja, saya rasa suami orang lain pun mesti teruja dan keluarga saya pun mendoakan dan tertunggu-tunggu juga hal yang sama.
Terdahulu, Neelofa pernah dikatakan hamil apabila sekeping gambar seolah-olah menunjukkan ‘baby bump’ usahawan itu tular di media sosial.
Meski sering dihujani pertanyaan mengenai kehamilan, Neelofa mahupun Haris masih mengunci mulut dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hal tersebut.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.