Pelawak terkenal, Harith Iskander memuat naik sebuah klip video persembahan komediri dirinya berjenaka sinis mengenai perbezaan kualiti servis lapangan terbang di Malaysia dan Singapura yang telah mendapat perhatian Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
‘Maklumat ini mengelirukan’
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di Twitter, pelawak bertahap antarabangsa itu memuat naik klip daripada rancangan komediri ‘I Told You So’ mengenai kualiti lapangan terbang di Malaysia yang dibandingkan dengan Singapura.
Menerusi video yang dimuat naik, Harith atau nama sebenarnya, Harith Iskander Musa berkata, lapangan terbang Singapura beroperasi penuh meskipun mempunyai 20 kaunter namun di Malaysia, bilangan kaunter juga sama tetapi hanya dua kaunter yang beroperasi.
Ciapan tersebut mendapat perhatian Khairul Dzaimee yang beranggapan bahawa ianya satu informasi yang mengelirukan.
This is misleading, Harith (maklumat ini mengelirukan, Harith)
‘Avengers pun mengelirukan’
Harith kemudian mengulas lanjut respon yang diterimanya itu di laman Instagram miliknya dengan membuat perumpamaan bahawa filem superhero Avengers juga mengelirukan, namun ianya adalah sebuah filem dan bukannya dokumentari. Menurutnya, komediri mampu menjadi satu alat untuk mencetus perbincangan tentang isu sosial.
Marvel Avengers juga mengelirukan, tapi ianya sebuah filem, bukan dokumentari.
Respon yang diterima klip komediri saya mampu menjadi satu alat yang hebat untuk mencetus perbincangan isu sosial. Netizen telah berbincang sama ada ‘lawak’ saya itu betul atau tidak.
Komediri ibarat memegang cermin dan membuat lawak tentang diri sendiri, dan masyarakat. Saya buat lawak tentang diri sendiri setiap masa, dan itu lah matlamat utama!
Dalam pada itu, netizen turut berbahagi pendapat mengenai isu yang dibincangkan. Ada yang bersetuju dengan pendapat Harith dan ada yang menyebelahi Khairul Dzaimee.
Tak faham maksud komedi ke? Ini komedilah, bukan benda serius. Harith merupakan seorang pelawak. Orang Malaysia tahu apa itu gurauan dan sebaliknya.
Sebagai rekod, Singapura berada di belakang Malaysia dalam senarai ranking World’s Best Airport Immigration Service 2021. Menerusi carta tersebut, Malaysia berada di posisi tempat keempat manakala Singapura menerusi lapangan terbang Singapore Changi Airport menduduki tangga kelima.
Sumber: Twitter, Instagram