Bertemakan ‘dangdut’, pasangan Ara Johari dan Shaffiq Erwin telah membawakan lagu Penasaran di pentas minggu kelima Famili Duo semalam. Namun apa yang mencuri tumpuan ramai adalah komen yang diberikan oleh juri professional iaitu Ajai.
Shaffiq ditegur terlalu lembut
Menerusi persembahan semalam, Shaffiq Erwin dilihat terlalu menonjol berbanding pasangan duonya iaitu Ara. Tak dinafikan, gaya tarian dan gelek yang ditunjukkan Shaffiiq mencuri tumpuan ramai. Namun di sebalik kemeriahan persembahan mereka, Ajai selaku juri professional menegur perwatakan Shaffiq pada malam itu yang dikatakan terlalu ‘lembut’.
Ketika ditemui, Shaffiq memberitahu kemungkinan kerana genre dangdut merupakan minat dan kepakarannya. Tambah Shaffiq lagi, dia menerima segala komen yang diberikan oleh para juri.
Saya terima setiap komen daripada juri dan abang Ajai sebab dia selalu bergurau di belakang pentas. Saya anggap itu gurauan saja. Saya rasa dia faham. Dangdut memang sinonim dengan gelek. Bergerak sikit pun memang ‘hidup’ sebab itu jiwa saya. Saya pun tidak melampaui batas dan cuma mengikut tuntutan lagu.
Berkongsi mengenai penampilannya dan Ara pada malam itu, Shaffiq memberitahu mereka menyerahkan semuanya kepada pasukan penata gaya yang dilantik.
Program Famili Duo ditayangkan di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam.