berita

Ditemui Dalam Keadaan Tragis, Kisah Misteri 9 Pendaki Maut Di ‘Gunung Kematian’ Akhirnya Terungkai

August 5th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Korang masih ingat tak kisah misteri kematian sekumpulan pelajar yang ingin mendaki Gunung Otorten di Rusia sekitar tahun 1959 yang lalu? Ini merupakan salah satu insiden yang sangat pelik dan pernah menggemparkan dunia. Bukan itu sahaja, kesemua mayat mangsa turut ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

10 pendaki merentas Gunung Otorten

Tragedi ini bermula pada 25 Januari 1959 apabila sekumpulan pro pendaki yang terdiri daripada 10 orang penuntut Polytechnical Institut iaitu 8 lelaki dan 2 perempuan. Ekspedisi kumpulan ini adalah untuk menuju ke kawasan pergunungan salji di bahagian utara Ural, Sverdlosk Oblask dan diketuai oleh Igor Dyatlov. Gunung Otorten ini turut dikenali dengan nama ‘Gunung Kematian’.

Kumpulan Dyatlov ini kemudian menaiki trak dengan kelengkapan serta keperluan lengkap dan menuju ke sebuah perkampungan yang terletak di Vizhai sebelum mendaki Gunung Otorten. Semasa di perkampungan tersebut, penduduk di sana ada menceritakan serba sedikit mengenai kisah ‘pembunuhan’ misteri yang pernah menimpa pemburu di sana. Walaupun begitu, kumpulan pelajar ini masih ingin meneruskan pendakian mereka.

9 orang sahaja yang teruskan pendakian

Pada keesokan harinya, salah seorang daripada kumpulan pendaki iaitu Yuri Yudin tidak dapat meneruskan ekspedisi kerana jatuh sakit. Difahamkan, Yuri Yudin menghidapi penyakit rheumaticm dan masalah jantung. Disebabkan itu, dia terpaksa ditinggalkan di Vizhai sementara 9 orang ahli kumpulan yang lain masih meneruskan rancangan mereka. Menurut sumber, ketua ekspedisi iaitu Igor Dyatlov turut berjanji akan menghantar telegram apabila mereka tiba di puncak.

Sekitar 31 Januari 1959 hingga 1 Februari 1959, ribut salji yang sangat kuat telah melanda kawasan tinggi pergunungan tersebut. Susulan daripada itu, mereka bersepakat untuk berhenti berkhemah sementara menunggu keadaan reda. Tetapi lain pula yang jadinya apabila mereka kehilangan arah dan menuju ke puncak Kholat Syakhl. Mereka berhenti di lereng bukit dan mendirikan khemah di sana.

Mereka hilang, tiada khabar berita

Menurut sumber, kawasan itu merupakan salah satu tempat yang sangat bahaya. Jika diikutkan perancangan awal, kumpulan ini akan pulang dari ekspedisi pada 12 Februari 1959. Selain itu, Igor Dyatlov juga tidak menghantar telegram dengan memberitahu tentang keadaan mereka di pergunungan. Yuri masih berfikiran positif dan menganggap ahli kumpulannya itu lewat sampai kerana cuaca buruk.

Namun pada 20 Februari, Yuri Yudin telah membuat laporan tentang ‘kehilangan’ rakan-rakannya itu. Bukan itu sahaja, ibu bapa para pelajar turut menggesa pihak berkuasa untuk memulakan pencarian. Pada 26 Februari 1959, pihak penyelamat bersama-sama pesawat dan helikopter akhirnya berjaya menemui tapak perkhemahan kumpulan pendaki itu.

Mayat ditemui

Selain itu, mereka turut menjumpai khemah yang sudah hancur dan seakan-akan telah dipotong dari bahagian dalam. Pakaian serta kasut turut ditinggalkan di kawasan tersebut. Apa yang menimbulkan persoalan adalah apabila melihat kesan tapak kaki mereka seperti sedang berlari dalam ketakutan berdekatan tapak perkhemahan sehingga ke kawasan hutan.

Hasil daripada pencarian, pihak berkuasa berjaya menemui kesemua mayat mangsa. Lebih meruntun hati apabila melihat keadaan mayat sangat tragis. 2 mayat Krivonnischenko dan Doroshenko ditemui dalam keadaan separuh bogel dan dipercayai mati akibat hipotermia. 3 lagi mayat iaitu Kolmogorova, Slobodin termasuk Dyatlov berada berdekatan dengan pokok besar. Menurut sumber, dahan pada pokok tersebut juga patah seakan-akan mereka mencuba memanjat dahan tersebut. Apa yang peliknya posisi mereka seperti ingin menuju ke arah khemah sementara mayat Dyatlov sedang melindungi kepalanya daripada sesuatu. Tengkorak kepala Slobodin telah retak dan mayat Kolmogotova berlumuran darah.

Insiden masih jadi tanda tanya

Dua bulan kemudian, mereka menemui mayat Zolotariov, Thibeaux Brignolell, Kolevatov dan Dubinina yang tertimbus di dalam salji dengan keadaan berpakaian lengkap. Menurut sumber, lidah Dubinina hilang akibat dikerat semasa hidup.

Walaupun kesemua mayat sudah ditemui, tetapi persoalan mengenai punca kematian mereka telah menjadi tanda tanya. Ada segelintir pendapat yang menyifatkan kematian mereka adalah disebabkan hipotermia tetapi ada juga yang beranggapan kumpulan pendaki tersebut telah diserang satu ‘kejadian’ misteri. Bukan itu sahaja, pihak kerajaan turut berpendapat  kumpulan tersebut diserang beruang liar atau dirompak oleh kaum Mansi tetapi mereka gagal mengemukakan bukti yang kukuh.

Menerusi laporan terbaru Daily Mail memaklumkan bahawa selepas hampir 61 tahun, punca kematian kesemua pendaki ini akhirnya terjawab. Menurut sumber, kumpulan pendaki tersebut mati disebabkan hipotermia.

Sumber: Medium, Iluminasi, Majalah Mastika, Daily Mail

SKIP THIS AD ×