berita

Ditemui Mati Tergantung Pada Sebatang Pokok, Ini Kisah Tragis Pengasas Bank Melayu Pertama

August 18th, 2020 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Dilahirkan di Seri Menanti, Negeri Sembilan, Maarof Zakaria merupakan antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris sebaris dengan tokoh pemikir, Zainal Abidin Ahmad atau Zaaba. Beliau juga adalah angkatan nasionalis negara, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako.

Walau bagaimanapun, bekas peguam dan pegawai daerah di Perak ini ditemui dalam keadaan sungguh tragis selepas tiga hari dilaporkan hilang.

Niat murni dapat tentangan

Pada tahun 1946, Maarof mengambil langkah mengasaskan bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank bertempat di Klang Street. Bank tersebut ditubuhkan bersama rakannya, SM Leong dan beroperasi di bangunan sama dengan firma guaman mereka.

Beliau pernah ditawarkan memegang jawatan Menteri Besar oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad namun beliau menolaknya dengan baik.

Menurutnya, untuk maju dalam politik, orang Melayu hendaklah mempunyai sistem ekonomi yang kukuh seperti sistem perbankan yang sistematik.

Walaubagaimanapun, niatnya itu mendapat tentangan sesetengah pihak dan mereka merasakan ianya menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada waktu itu, iaitu The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina, Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Diculik, kereta ditemui di Bentong

Untuk menyekat kemaraan ekonomi Melayu pada waktu itu, terdapat beberapa pihak telah merancang untuk menculik dan membunuh Maarof. Ketika mangsa dan keluarga berpindah ke kediaman baru di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama, mereka telah diserang sekumpulan lelaki bersenjata.

Namun pada 4 Disember 1947, Maarof dilaporkan telah diculik ketika dalam perjalanan dari rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur ke rumah ibunya di Seremban. Selepas tiga hari diculik, mayat ditemui tergantung pada sebatang pokok dalam hutan. Lokasi mayat ditemui berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Menurut laporan lagi, ketika itu mangsa memakai seluar Khaki dan jam berjenama Rolex masih berada di tangannya. Apa yang peliknya, tayar belakang dan tayar simpanan kenderaannya telah hilang.

Difahamkan, sebelum kejadian culik, mangsa telah membeli sebidang tanah dusun yang dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit. Kawasan itu mempunyai dua unit rumah setingkat berhampiran dengan Sekolah Melayu Seputeh.

Misteri kehilangan jadi perhatian

Menurut laporan The Sunday Times yang dipetik daripada Berita Harian, kereta menjadi petunjuk kepada kehilangan mangsa. Persoalan mula timbul apabila kereta ditemui di Pahang sedangkan mangsa ke Seremban.

Polis percaya mangsa ditahan beberapa individu sebelum dibawa menuju ke Bentong. Kereta kemudiannya ditinggalkan di penghujung jalan mati, dekat dengan km13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong.

Selepas melakukan pencarian, pihak polis menemui mayat mangsa tergantung pada sebatang pokok pada 7 Disember (Sabtu pagi).

Keesokan harinya, sebuah artikel bertajuk `Missing Banker Found Hanged in Jungle’ telah diterbitkan The Straits Times. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Mohamaden, Ampang, Selangor.

Siapa dalang utama kes dan mengapa mangsa dibunuh sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Sumber : Mat Hades , Berita Harian

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×