Siapa sangka sebuah percutian yang menyeronokkan boleh bertukar menjadi satu tragedi ngeri. Kejadian yang menimpa pasangan Thomas Joseph Lonergan dan Eileen Lonergan ketika mereka melakukan aktiviti scuba diving di lautan Coral, Australia, bertukar menjadi satu peristiwa yang malang apabila mereka ditinggalkan di tengah-tengah lautan tersebut.
Buat pengetahuan korang, separuh daripada populasi jerung di dunia tinggal di lautan tersebut.
Siapa Thomas dan Eileen Lonergan?
Thomas Joseph Lonergan atau dikenali sebagai Tom dan Eileen merupakan pasangan suami isteri yang berasal dari Amerika Syarikat. Kedua-dua mereka merupakan graduan Lousiana State University dan mereka telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1988. Mereka gemar melakukan aktiviti menyelam. Pasangan ini diggambarkan sebagai pasangan muda yang idealistik dan mereka sangat cinta akan satu sama lain.
Tertinggal di tengah lautan
Pada 25 Januari 1998, pasangan tersebut telah menamatkan perkhidmatan mereka di Peace Corps, Amerika Syarikat. Buat pengetahuan korang, Peace Corps merupakan program sukarelawan yang dianjurkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi negara mereka. Berbalik kepada cerita Tom dan Eileen, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, mereka telah singgah di Queensland untuk melakukan aktiviti diving. Mereka berkesempatan untuk menyelam di lautan yang mempunyai terumbu karang terbesar di dunia. Dengan menggunakan khidmat syarikat Diving Outer Edge di situ, Tom dan Eileen bersama 24 penyelam yang lain menaiki bot ke port menyelam mereka iaitu sejauh 40 kilometer dari jeti.
Kapten Geoffrey Nairn merupakan kapten bot mereka. Sekitar sejam lebih kemudian, kesemua mereka telah sampai di tempat diving yang mereka ingin tujui. Seperti biasa, kesemua penyelam akan memakai semua kelengkapan. Antaranya, tangki oksigen dan pakaian menyelam. Seperti orang lain, pasangan tersebut turun menyelam ke dasar laut. Setelah 40 minit menyelam, mereka telah naik ke permukaan air semula. Pada masa tersebut, Tom dan Eileen mendapati bot yang membawa mereka sudah tiada di situ. Pada waktu itu, disekeliling mereka hanyalah lautan dan langit biru. Pasangan tersebut sedar yang mereka berada dalam situasi cemas. Mereka menjerit dan meminta pertolongan pada masa tersebut. Malangnya, tiada siapa yang mendengar jeritan tersebut.
Deruan ombak yang mula bergelora membuatkan pasangan suami isteri itu sukar berada dalam laut. Mereka hanya mampu berenang dan kekal di permukaan air dengan harapan ada bot yang akan nampak mereka. Walaupun mereka berasa letih dan lemah, mereka perlu menggerakkan kaki agar terapung. Perkara tersebut berlanjutan sehingga ke malam. Malam berganti siang, mereka berdua semakin jauh dari lokasi asal kerana dibawa oleh arus.
Tiada siapa sedar kehilangan mereka
Kesemua penyelam termasuk kapten tidak menyedari kehilangan pasangan tersebut. Dari situ, kesemua mereka dianggap mementingkan diri sendiri dan cuai. Namun, ada yang mengatakan suami isteri itu menyelam terlalu lama hingga tamat waktu mereka sepatutnya kembali ke bot. Akan tetapi, sebagai seorang kapten, Geoffrey Nairn sepatutnya mengetahui bilangan penumpang semasa pergi dan pulang.
Dua hari telah berlalu, tiada seorang pun menyedari kehilangan Tom dan Eileen. Dipendekkan cerita, kehilangan mereka berdua disedari oleh Geoffrey. Sewaktu membuat pemeriksaan di bot, Geoffrey telah menjumpai sebuah beg, dompet, passport dan pakaian milik suami isteri tersebut. Setelah menjumpai barang-barang itu, Geoffrey mula menyedari bahawa Tom dan Eileen tiada di jeti sewaktu mereka pulang pada hari kejadian.
Operasi pencarian
Foto: Kandungan nota yang ditulis oleh Tom dan Eileen
Pihak berkuasa telah melakukan operasi pencarian besar-besaran demi mencari pasangan tersebut. Angkatan Tentera Laut dan orang awam turut menyertai operasi tersebut. Setelah tiga hari operasi dilakukan, malangnya mereka tidak menemui bayangan pasangan tersebut. Namun begitu, mereka hanya menemui kelengkapan menyelam Tom dan Eileen di persisiran laut. Alat untuk membuat nota oleh penyelam turut dijumpai. Alat yang dipanggil ‘dive state’ itu ternyata milik mereka berdua dan terdapat nota yang telah ditulis di situ.
Menurut nota tersebut, Tom dan Eileen memberitahu yang mereka sudah terdampar di lautan selama sehari. Namun, tiada siapa yang datang dan memberikan bantuan. Oleh itu, mereka berharap ada pihak yang akan datang menghulurkan bantuan sebelum mereka ditemui meninggal dunia. Lebih malang, setelah beberapa hari operasi pencarian dilakukan, pasangan tersebut tidak pernah dijumpai sehingga sekarang.
Teori kematian
Foto: Ombak di lautan Coral, Australia
Terdapat tiga jenis teori kematian berhubung pasangan suami isteri ini. Antaranya, bunuh diri. Menurut teori ini, Tom dan Eileen seolah merancang kematian mereka sendiri. Ini dapat dilihat dalam isi kandungan diari milik Tom. Dalam diari itu juga, Tom dipercayai mengalami kemurungan. Diari itu ditulis oleh Eileen. Menurut Eileen, Tom impikan kematian yang cepat dan tenang. Lebih menarik, diari tersebut ditulis 2 minggu sebelum kejadian itu berlaku. Namun, ibu bapa mereka membantah teori ini.
Teori kedua mengatakan mereka dimakan jerung. Ini kerana, separuh dari populasi laut tersebut dipenuhi jerung. Namun, tiada sebarang bukti kukuh mengenai serangan jerung terhadap mereka. Tiada tompokan darah atau kesan gigitan jerung ditemui pada kelengkapan menyelam mereka yang dijumpai di persisiran laut.
Teori ketiga pula merupakan teori yang boleh diterima setakat ini. Teori tersebut merupakan teori dehidrasi. Mereka berdua dipercayai tiada bekalan air, tempat berteduh dan terpaksa berenang di permukaan laut hingga menyebabkan kedua mereka menjadi panik. Situasi tersebut telah menyebabkan kedua mereka dehidarsi.
Open Water
Kalau korang nak tahu, kisah Tom dan Eileen ini telah dijadikan sebuah filem iaitu Open Water. Jalan cerita yang ditunjukkan sama seperti situasi yang dialami pasangan suami isteri itu. Pelbagai dokumentari mengenai mereka turut diterbitkan.
Sumber: Allthatsinteresting, The Guardian & Kirkscubagear