Pelakon era 1990-an iaitu Effa Nareesha meluahkan rasa terkilan selepas ditipu oleh seorang artis veteran dan isterinya. Susulan daripada itu, pelakon yang berusia 45 tahun ini membuat tuntutan wang berjumlah sebanyak RM8.58 juta.
Dakwa ditipu artis veteran, isteri
Memetik laporan Harian Metro, artis veteran yang membahasakan dirinya sebagai Ayahanda merupakan ‘mastermind’ di sebalik tugasan yang diberikan kepada Effa dan suami. Dakwa Effa lagi, dia dan suami diminta menguruskan kertas heritage (warisan) bernilai 5 bilion Euro (RM22.01 bilion) di London, baru-baru ini.
Ikutkan ramai yang tak percaya tapi inilah hakikat yang terjadi. Kami diamanahkan untuk ke London bagi menyelesaikan kerja mereka untuk urusan bank kerana suami saya mempunyai kenalan di sana dan peguamnya yang selesaikan hal itu.
Namun siapa sangka, semasa Effa dan suaminya di London, pasangan terbabit telah pulang ke Malaysia. Dua minggu kemudian, lelaki berkenaan mendakwa dia sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan isterinya, Bonda. Lebih mengejutkan apabila Ayahanda memberitahunya bahawa dia sudah tidak mahu mengambil tahu mengenai perkara itu sedangkan tugasan di London sudah pun diselesaikan oleh Effa dan suaminya.
Sebenarnya Bonda mengaku dia adalah kerabat kepada Sultan di sebuah negeri. Dia mengaku dia kononnya pemegang amanah bagi harta pusaka kerabat diraja negeri itu. Bonda turut menunjukkan dokumen sebuah bank di Geneva dengan jumlah harta sebanyak 5 bilion Euro.
Tak mungkin dia berani menjadi scammer. Tapi sangkaan kami salah. Kami menandatangani surat perjanjian bagi membawa pasangan ini ke London dan seterusnya ke bank terbabit bagi menyelesaikan harta berkenaan seperti mana yang dinyatakan. Bagaimanapun Ketua Pegawai Operasi di bank terbabit memaklumkan bahawa dokumen itu adalah palsu.
Tuntut RM8.58 Juta
Susulan daripada itu, Effa dan suaminya tampil membuat laporan polis selain melantik peguam untuk menguruskan urusan ganti rugi sepanjang mereka menguruskan tugasan pasangan itu di London.
Ia termaktub dalam surat perjanjian yang menyatakan segala kos perbelanjaan akan dibayar dengan gandaan 10 kali. Jumlah tuntutan kami sebanyak RM858,000. Jika 10 gandaan lebih kurang RM8.58 juta.
Tambah Effa lagi, pelakon terbabit juga telah melarikan diri dan gagal dihubungi. Tujuannya menularkan kisah ini supaya tidak ada individu lain yang menjadi mangsa penipuan artis veteran ini.
Ada yang beritahu Bonda berhutang dengannya RM21,000. Manakala pelakon senior terbabit pula suka pinjam duit orang. Saya bukan nak aibkan mereka tapi ini kebenaran.
Sumber: Harian Metro