Pihak pengurusan stesen televisyen Awesome TV mengambil keputusan menggugurkan nama pengacara, Azwan Ali atau Diva AA daripada mengacara program realiti, Mic On! berkuat kuasa serta-merta bermula semalam. Apabila disoal mengapa namanya digugurkan, Azwan Ali enggan mendedahkan punca.
‘Penonton tengok Mic On sebab saya’
Semalam, pihak penyiar Awesome TV membuat keputusan menggugurkan pengacara sensasi itu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal berkaitan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada dalam kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan pihak penyiar.
Pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut.
Memetik laporan Metro, Azwan Ali ketika dihubungi berkata persoalan tentang sebab sebenar mengapa dia digugurkan itu sebagai pengacara program realiti itu sepatutnya diajukan kepada pihak pengurusan Awesome TV yang mengambil keputusan tersebut.
Mereka boleh cakap apa saja, dipersilakan. Allah Maha Berkuasa. Tunggu sajalah nasib mereka, karma itu pasti ada.
Saya tak rasa apapun, malah saya tetap kaya-raya dan disambar sana-sini oleh pihak produksi. Saya tak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran ‘ciput’ ini, tapi saya buat demi peminat.
Mereka boleh pertahankan kru dan wakil pengurusan, tapi saya juga ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya.
Menurut Azwan, dia berjaya menarik penonton bagi program realiti tersebut, dan berharap pihak penyiar tidak sesekali mempergunakan orang sesuka hati dan menyelesaikan hutang mereka secepat mungkin.
Bayar hutang saya sebelum saya buat laporan polis. Sudahlah bayar ‘ciput’. Jangan sesekali menggelupur mempergunakan orang, saya tak hadap. Penonton tengok Mic On sebab saya. Jangan nak kurang ajar dengan saya. Mereka ingat mereka besar sangat. Mereka aniaya saya, tunggu karma yang bakal menanti.
Ada benda kurang ajar sudah berlaku. Jangan tanya saya, tapi tanya kepada mereka apa benda kurang ajar yang saya dakwa sudah berlaku dalam pengurusan Awesome TV. Saya takkan dedahkan tapi suruh mereka keluarkan kenyataan media.
Saya bila-bila masa boleh ke balai polis dan menggunakan khidmat peguam saya. Selagi hutang saya tak bayar jangan terkejut kalau ini jadi kes polis.
Sumber: Harian Metro