Penyampai radio popular Suria FM, DJ Lin berang dan terkejut setelah mendapat tahu tentang berita palsu yang tersebar bahawa dirinya telah meninggal dunia di media sosial.
‘Saya boleh ambil tindakan undang-undang’
Foto: Instagram DJ Lin
Menurut DJ Lin, dia mengetahui tentang perkara tersebut selepas peminatnya menghantar tangkap layar satu hantaran dalam sebuah kumpulan di laman Facebook dengan nama ‘Pengeluaran Khas KWSP 2022’. Hantaran tersebut telah mengumumkan DJ Lin telah menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Jujur menggigil badan dan tangan saya apabila baca mengenai kematian saya sendiri. Bila masa saya mati?
Saya betul-betul tak faham kenapa masih wujud manusia seperti ini pada zaman moden kini.
Elok saja saya on air (ke udara) menemani pendengar Suria Cinta malam tadi. Habis bersiaran tengok Facebook ternampak hantaran mengenai kematian saya itu.
Memetik laporan Kosmo!, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd. Majid berkata, hantaran yang dimuat naik admin kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Amir Kdh disifatkan keterlaluan dan sangat biadab.
Tambahnya lagi, sebagai admin, sepatutnya individu itu bertanggungjawab dalam membuat pengumuman selain memeriksa kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu dan bukan sesuka hati menyebarkannya.
Jangan terlalu fikir nak jadi nombor satu atau paling awal menyampaikan berita sesuka hati tanpa memikirkan sensitiviti pihak lain.
Saya boleh ambil tindakan undang-undang jika perkara sebegini masih berulang lagi.
‘Teringin nak bertentang mata’
Foto: Instagram DJ Lin
Terdahulu, Penyampai Radio Popular empat tahun berturut-turut Anugerah Bintang Popular (ABP) itu turut memuat naik hantaran mengenai perkara berkenaan di laman Instagramnya, awal pagi tadi.
Buat Amir Kdh, apa motif awak ya sebarkan berita palsu ini? DJ Lin masih bernyawa lagi dan baru saja habis bersiaran.
Awak teringin nak popular ke atau macam mana? Sedih bila ada orang doakan benda tak baik pada kita.
Teringin nak bertentang mata dengan orang yang menyebarkan fitnah tentang kematian DJ Lin ini. Sangat kurang ajar dan tidak bertanggungjawab!
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengikut yang rata-ratanya menyifatkan admin kumpulan tersebut sebagai tidak sensitif dan sekadar mahukan populariti. Dimaklumkan, admin kumpulan tersebut telah memuat naik hantaran terbaharu memohon maaf dan mengakui menerima maklumat tidak tepat.
Sumber: Kosmo!