Kumpulan D’Masiv sekali lagi bakal datang ke Malaysia untuk menghiburkan peminat pada 29 Jun depan, di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Janji persembahan yang berbeza
Selepas kejayaan penganjuran konsert di Kuala Lumpur pada Februari lalu, kumpulan asal Indonesia ini berkata, mereka bakal memberi persembahan yang berbeza daripada kebiasaan agar peminat tidak bosan menonton konsert mereka Jun nanti.
Menurut Rian selaku vokalis, istimewa dalam acara Amazing Concert D’Masiv nanti, mereka bakal menyanyikan lagu-lagu dalam album baharu.
Pastinya kami akan tampil dengan susunan muzik berbeza supaya peminat tidak bosan dan mereka tidak dapat meneka lagu yang akan dibawakan.
Kami juga bakal melancarkan album kelapan pada 20 Mei ini. Jadi buat pertama kali di Malaysia nanti kami akan bawakan lagu-lagu baru secara live.
Tambah Rian, mereka sangat teruja untuk kembali semula ke Malaysia kerana sambutan yang diberikan oleh peminat di sini sangat luar biasa. Malah, peminat dari Singapura dan Brunei juga dijangka hadir untuk konsert kali ini.
Bukan sahaja orang Malaysia malah mereka dari Singapura dan Brunei juga akan turun sama jika kami membuat konsert di KL. Sebab itu kami amat berbesar hati apabila mendapat peluang ini.
Bukan datang buat konsert sahaja, kami juga suka makanan di sana seperti nasi kandar, nasi lemak dan durian Musang King.
Kami juga akan ambil peluang untuk bertemu peminat. Ada yang DM (direct message) di Instagram dan kami akan beritahu tempat tinggal.
Berbicara lebih lanjut, Rian secara peribadi mengakui bahawa dia akan cuba mencuri sedikit masa untuk mencari album-album lama artis terkenal Malaysia apabila tiba di sini nanti.
Buat masa ini saya sudah memiliki koleksi album Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman, Datuk Shiela Majid dan Anita Sarawak.
Rian dan anggota kumpulannya yang lain iaitu Kiki (gitar), Rama (gitar), Rai (bes) dan Wahyu (drum) ditemui OhBulan! pada sidang media konsert berkenaan yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada Khamis lalu.
Sekadar info, Amazing Concert D’Masiv dibawakan oleh JPP Entertainment dari Indonesia dengan kerjasama Creative Page (Malaysia).
Konsert yang berlansung di Arena Megastar Kuala Lumpur itu turut menampillkan Mario G Klau serta duet Sarah Suhairi dan Alfie Zumi. Tiket konsert boleh didapati di www.ticket2u.com.my.