Siapa yang tidak kenal dengan biduanita negara ini? Menjadi idola para penyanyi di Malaysia, Sharifah Aini merupakan satu bintang yang tiada tandingannya.
Bagaimanapun, dek kerana usia yang semakin meningkat, artis veteran itu dikatakan menghadapi masalah kesihatan dan pernah menulis di laman sosialnya bahawa dia dijangkiti radang paru-paru.
Terkini, sahabat baiknya, Khalilah Mohd Talha mengesahkan bahawa Sharifah Aini kini sedang dirawat di sebuah pusat rawatan yang tidak dinyatakan lokasinya.
Sharifah Aini minta peminat mendokan kesejahteraan dirinya
Tidak memaklumkan penyakit sebenar yang dihidapi oleh penyanyi tersohor itu, Khalilah turut berkongsi pesanan Sharifah Aini kepada peminatnya.
“Setiap dari kita tidak tahu bila kita akan dijemput oleh-Nya. Jika ditakdirkan Allah, sampai masanya untuk saya pulang ke rahmatullah, jika ditakdirkan ujian yang Allah berikan ini berakhir dengan saya keluar sebagai jenazah, dengan hati yang damai, saya tenang dan reda dengan apa yang ditetapkan.
Doakan saya berakhir dalam husnul khatimah. Sesuatu yang saya ingin anda, keluarga FB saya tahu, saya teramat sayangkan anda semua. Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan, doa dan budi baik yang anda curahkan kepada saya selama ini.
Doakanlah kesejahteraan saya, sedekahkan al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda. Insya-Allah, kita semua akan menjadi keluarga semula di jannah!”
Status tersebut dilihat telah menarik perhatian lebih 2000 orang peminat dan 700 komen yang mendoakan agar penyanyi itu cepat sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.
Sumber: Berita Harian