Seorang doktor haiwan di Bihar, India didakwa diculik sebelum dipaksa berkahwin dengan seorang gadis di daerah Begusarai pada malam Isnin yang lalu.
Dipaksa berkahwin
Menerusi laporan Times Of India, pada hari Selasa ahli keluarga kepada doktor yang dikenali sebagai Satyam, dikatakan menerima sebuah video daripada nombor telefon bimbitnya memaparkan lelaki ini sedang bersanding sebelum satu aduan kahwin paksa (Pakadua Vivah) dibuat kepada polis.
Difahamkan, Satyam meninggalkan rumahnya di kampung Pidhauli, bagi merawat seekor haiwan pada petang Isnin namun dia sama sekali tidak pulang seperti biasa. Bapanya, Subodh Kumar Jha mendakwa doktor berkenaan telah diculik dan dikahwinkan secara paksa.
Menerusi video yang tular di media sosial, memaparkan Satyam sedang duduk bersama pengantin perempuan dan dikelilingi wanita lain dan turut kedengaran lagu perkahwinan.
Setakat siasatan polis sehingga kini, Satyam pernah berkunjung ke rumah gadis itu kerana merawat lembu. Kedua-duanya suka antara satu sama lain.
Pada hari Isnin, dia dipanggil oleh keluarga gadis itu dan berkahwin. Video itu dirakamkan di rumah ibu saudara gadis itu.
Ujar pihak polis, Satyam yang berhak menyatakan sama ada dia berkahwin secara paksa atau mengikut kehendaknya sendiri.
Sumber: Times Of India