berita

Doktor Palsu Tanam Batang Lolipop Bawah Lengan Wanita, Kononnya Alat Pencegah Kehamilan

May 11th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang lelaki di Venezuela yang menyamar sebagai seorang doktor ditahan polis selepas didakwa memasukkan batang plastik gula-gula lolipop di bawah kulit lengan berpuluh-puluh wanita.

Kerja di pusat kesihatan guna ijazah palsu

Foto: Oddity Central

Memetik laporan Oddity Central, Jose Daniel Lopez, 38 tahun dituduh memperdaya sekurang-kurangnya 25 wanita yang membuat bayaran kepadanya bagi menanam batang lolipop di bawah kulit mereka sebagai alat pencegah kehamilan.

Lopez, tanpa sebarang kelayakan dalam bidang perubatan berjaya mendapatkan pekerjaan di pusat kesihatan di La Victoria dan Maracay, Venezuela selepas memalsukan ijazah perubatannya. Dia berjaya memberi tanggapan perubatan yang baik selepas melakukan prosedur implanon beberapa kali.

Menurut Mayo Clinic, prosedur implanon sebenar merujuk kepada implan kontraseptif yang melepaskan dos hormon progestasional yang rendah dan stabil untuk memekatkan lendir serviks serta menipiskan lapisan rahim selain mengganggu kitaran ovulasi.

Implan yang sebenar berbentuk seperti batang plastik kecil mudah lentur, namun yang digunakan Lopez hanyalah sekadar batang lolipop. Penipuan Lopez terbongkar selepas seorang doktor sebenar memuat naik hantaran berbentuk amaran selepas mendapati beberapa wanita tampil keliru kerana mengandung walaupun telah melakukan prosedur implan tersebut.

Selepas penipuannya tular, Lopez menghilangkan diri, namun berjaya diberkas oleh pihak berkuasa di daerah Aragua, Venezuala di mana dia bersembunyi.

Sumber: Oddity Central

SKIP THIS AD ×