berita

‘Doktor, Tolong Dia…’ – Pengasuh Jumpa Bayi Tertonggeng Dalam Baldi Penuh Air

November 10th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Memang tidak dapat dinafikan, sejak kebelakangan ini ramai ibu bapa perlu bekerja demi menampung kehidupan keluarga. Oleh hal yang demikian, mereka terpaksa menyerahkan tanggungjawab menjaga anak kepada pengasuh.

Terbaru, seorang pengguna Facebook, Dr Redza Zainol berkongsi kisah mengenai seorang wanita datang ke Jabatan Kecemasan dengan mendukung seorang bayi yang sudah terkaku dan tidak bernafas.

Badan dah membiru

Ketika anak kecil tu sampai di Jabatan Kecemasan, seluruh badannya sudah biru dan sejuk. Tak bernafas dan tak bergerak. Tiada degupan jantung kedengaran bila bayi diperiksa. Matanya tertutup, mulutnya sedikit terbuka. “Tolong saya doktor. Anak saya lemas. Tolong dia, tolong dia.” Si kecil ni ialah anak tunggal dan dia dijaga oleh pengasuh pada siang hari.

Pintu tandas di rumah pengasuh walaupun ditutup tapi tak dikunci. Dia masuk ke tandas bersendirian dan nampak baldi yang penuh dengan air. Pada masa dia dijumpai pengasuh, kepalanya ada di dalam baldi dan kakinya ke atas. Pengasuh terus menarik anak ini keluar, namun kaki, tangan dan mulutnya sudah membiru.

Menerusi perkongsian tersebut, Dr Redza Zainol menceritakan bahawa bayi berkenaan sudah tidak sedarkan diri ketika dia dibawa ke hospital. Difahamkan, bayi terbabit telah lemas di dalam baldi yang dipenuhi dengan air ketika berada di bawah asuhan pengasuhnya pada siang hari.

Bayi meninggal dunia

Berapa lama dia dah terjatuh ke dalam baldi, tak ada siapa yang tahu. 1 minit atau 10 minit, entahlah. Mana tahu pagi itu adalah hari terakhir ibunya lihat dia tersenyum. “Maafkan saya puan. Anak puan dah tak ada lagi.” Menyesal pun tak berguna. Masa yang dah berlalu tak boleh diputar semula. Hanya kenangan yang ditinggalkan. Dan dia, dah pergi meninggalkan semua.

Kepala bayi atau anak kecil yang tenggelam dalam air sedalam 2 inci dah mampu buatkan dia lemas. Ia berlaku secara senyap dan pantas. Anak yang lemas tak mampu menjerit meminta tolong. Air yang masuk ke dalam paru-paru akan buatkan paru-paru jadi basah dan tak berfungsi lagi. 4 minit tanpa oksigen sampai ke otak, dah cukup untuk buatkan kerosakan kekal pada otak anak.

Difahamkan, bayi berkenaan telah disahkan meninggal dunia. Hal ini kerana, kuantiti air yang banyak mampu membuatkan paru-paru seseorang bayi itu menjadi basah selain menyebabkan mereka mengalami kerosakan pada bahagian otak.

Ibu bapa perlu baca

Kawan-kawan, perhatikan 4 perkara ni ketika mandikan bayi dan anak kecil:
– Pastikan kita memerhati anak secara SENTUHAN. Maksudnya sebelah tangan kita sentiasa memegang anak. Sebelah lagi tangan untuk kita ambil alatan mandian dan tuala bayi. Dan semua alatan ni mestilah dalam jangkauan tangan kita. Susun dulu semua alatan ni sebelum letakkan bayi di dalam tub/tempat mandian bayi.
– Peraturan mudah ketika bayi berada DI DALAM air: Jangan tinggalkan anak sendirian atau tinggalkan anak untuk dijaga oleh anak kecil lain walaupun sekejap.
– Penutup tempat duduk tandas ditutup sepanjang masa. Kepala anak kecil yang dah pandai berjalan boleh termasuk ke dalam lubang tempat duduk tandas dan lemas secara senyap. Sebaiknya, selak terus pintu tandas supaya tak dimasuki oleh anak kecil.
– Kosongkan baldi, tong sampah atau apa-apa bekas yang boleh menakung air.

Dalam kesempatan itu, Dr Redza sempat berkongsi beberapa nasihat dan tips ketika mandikan bayi yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa dan pengasuh. Hal ini secara tidak langsung mampu mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Sumber: Dr Redza Zainol

SKIP THIS AD ×