Penceramah terkenal, Dr Zakir Naik melalui firma guaman, Messrs Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.
Menurut peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, salinan tuntutan telah diberikan kepada Ramasamy pagi semalam dan ada beberapa saman lagi akan difailkan minggu hadapan. Antara nama yang disebut adalah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
4 tuntutan fitnah
Memetik laporan Sinar Harian, penceramah tersebut membuat tuntutan saman fitnah atas empat pernyataan yang dikatakan berunsur fitnah. Kenyataan tersebut dikeluarkan pada 10 April 2016, 1 Oktober 2017, 11 Ogos dan 20 Ogos 2019.
Pagi tadi, salinan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Ramasamy. Mungkin minggu depan akan ada beberapa tuntutan saman akan diserahkan kepada beberapa individu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, P Ramasamy sebagai defendan didakwa menfitnah dengan memanggil gelaran tidak sopan dan dimuatnaik di Facebook miliknya pada 10 April 2016. Tuduhan kedua pula berlaku pada 1 Oktober 2017 dimana defendan didakwa sekali lagi membuat pernyataan fitnah dan artikel dimuatnaik di laman portal tempatan.
Tuduhan ketiga pula mengenai satu kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Ogos mengenai manipulasi jawapan ketika ceramah yang dianjurkan di negeri Kelantan. Pernyataan tersebut juga telah dimuatnaik sebuah portal tempatan. Pada 20 Ogos 2019 pula, defendan didakwa mengeluarkan fitnah dan disiarkan media antarabangsa, India Today.
Mohon maaf dalam 7 hari
Menurut Zakir Naik, tindakan Ramasamy berniat jahat, kebencian, iri hati, hasad dan kenyataan dikeluarkan tanpa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.
Dengan menerbitkan pernyataan fitnah tersebut, defendan juga telah menghasut, menyerang dan menimbulkan sensitiviti kaum, agama dan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia pada umumnya.
Defendan telah secara salah memetik kata-kata plaintif di luar konteks, sedangkan plaintif sebenarnya memuji Malaysia kerana tulus dan bijaksana dalam melayani dan menegakkan hak kaum minoriti (termasuk, tetapi tidak hanya terhad kepada penganut Hindu), selaras dengan prinsip Islam, sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India terhadap kaum minoritinya.
Defendan telah secara sengaja mengambil kata-kata plaintif di luar konteks dengan harapan untuk memberi kemudaratan kepada plaintif, inter alia (antara lain) bagi tujuan politiknya.
Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan defendan sama sekali tidak benar, tidak berasas, fabrikasi, palsu, direka-reka, diubah dan cenderung untuk mencapai agenda tersendiri.
Selain itu, Zakir Naik turut memohon P.Ramasamy membuat permohonan maaf dalam masa 7 hari daripada tarikh perintah. Permohonan maaf hendaklah dimuatnaik di laman Facebook defendan selain disiarkan di media termasuk akhbar Berita Harian, Sinar Harian, The Star, Free Malaysia Today (FMT), Sin Chew Daily dan Tamil Nesan.
Sumber : Sinar Harian , Harian Metro