
Usahawan dan personaliti media sosial, Datuk Seri Vida (DSV) kembali menghangatkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul “Lagu Happy”.
Artikel Berkaitan: Filem Fantasi Ikonik Kembali Selepas 17 Tahun, Duyung: Legenda Aurora Temui Penonton 25 Disember Ini
Lagu Happy hadiah DSV
Lagu tersebut merupakan salah satu runut bunyi bagi filem fantasi komedi, Duyung Legenda Aurora yang sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 25 Disember lalu.
Dicipta oleh Syahmi Muffin dengan lirik hasil nukilan Neo, “Lagu Happy” menampilkan melodi segar, bertenaga dan sarat dengan elemen positif yang mudah melekat di telinga pendengar.
Susunan muzik yang ringan serta vibe ceria menjadikan lagu ini mudah dihayati, sekali gus menyampaikan mesej motivasi kepada pendengar.
Secara tidak langsung, “Lagu Happy” turut mengimbau nostalgia terhadap lagu-lagu ikonik seperti “Aspalela” dan “Yahoo” daripada filem Duyung yang pertama.
Menurut Datuk Norman Abdul Halim, lagu ini dihasilkan dengan konsep yang menyeronokkan dan bersifat universal.
Selepas mempertimbangkan beberapa nama, kami merasakan DSV adalah pilihan paling tepat kerana perwatakannya yang sentiasa ceria serta tidak mudah mengalah, sangat selari dengan tema lagu ini.
Lagu Happy juga merupakan lagu ‘sing-along’ yang mudah didengar dan sesuai untuk semua peringkat usia.
Sementara itu, Datuk Seri Vida menjelaskan lagu berkenaan lahir daripada pengalaman hidup serta falsafah peribadinya.
‘Happy’ mencerminkan kepercayaan saya bahawa kebahagiaan adalah satu pilihan. Walau apa jua cabaran yang kita hadapi dalam hidup, kita tetap berhak untuk bergembira dan bersyukur setiap hari.
Saya mahu Lagu Happy menjadi lagu yang boleh menceriakan hari sesiapa sahaja yang mendengarnya. Lagu ini membawa energi positif dan menjadi peringatan bahawa kebahagiaan datang dari dalam diri kita sendiri.
“Lagu Happy” pertama kali dipersembahkan secara eksklusif oleh DSV pada Malam Gala Filem Duyung Legenda Aurora yang berlangsung, baru-baru ini
Single terbitan Sony Music Entertainment itu kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasmi akan di saluran YouTube Nadi Studios.