berita

Dua Kali ‘Dibuang’ Oleh Ibu Bapa Kandung Sendiri, Remaja Ini Akhirnya Ambil Nyawa Sendiri Selepas Kisahnya Viral

January 27th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Misi seorang remaja mencari keluarga kandungnya di media sosial berakhir dengan tragis apabila dia untuk kali yang kedua ‘dibuang’ ibu dan bapa kandungnya, lalu membuat keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Dijual selepas dilahirkan

Foto: South China Morning Post

Liu Xuezhou, 17 tahun ditemui tidak sedarkan diri pada pagi Isnin di sebuah pantai di Sanya, China beberapa jam selepas memuat naik satu hantaran di laman sosial Weibo dengan kapsyen panjang yang menyatakan dia telah diabaikan oleh ibu bapa kandungnya buat kali kedua. Dia kemudian dibawa ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan.

Menurut laporan South China Morning Post, Liu menjadi bualan hangat netizen China selepas kisahnya menjadi tular. Semuanya bermula apabila remaja tersebut memuat naik kandungan di laman Weibo dan Douyin berkenaan nasibnya yang ‘dibuang’ buat kali kedua selepas mereka disatukan kembali Disember tahun lepas.

Ketika dilahirkan pada 2005, Liu dijual oleh ibu bapa kandungnya, namun ditakdirkan untuk menjadi yatim piatu ketika umurnya 4 tahun selepas ibu bapa angkatnya meninggal dunia dalam satu nahas letupan rumah. Selepas insiden tersebut, Liu dijaga oleh ahli keluarganya yang lain secara bergilir-gilir.

Remaja malang itu berjaya mengesan kedua ibu bapa kandungnya selepas dia melancarkan misi mencari dalam talian, namun pasangan tersebut telahpun bercerai dan enggan untuk menerimanya kembali di dalam kehidupan mereka.

Tidak diterima sebab minta macam-macam

Foto: South China Morning Post

Ketika keluarga kecil ini disatukan semula, mereka kelihatan gembira seakan-akan sebuah keluarga yang normal. Namun, mereka bula berkelahi apabila remaja tersebut didakwa meminta disewakan atau dibelikan sebuah rumah untuk dia tinggal seorang diri. Menurut ibu kandung, Liu telah menggugat keamanan hidupnya.

Kalau awak, awak tak akan elak ke daripada anak yang begitu defensif? Dia sampai rakam setiap perbualan kami. Kami berdua sudah berkahwin lain, dan dia cuba paksa kami untuk belikan dia rumah, walhal kami bukannya orang senang.

Susulan itu, Liu telah dicemuh teruk oleh netizen China yang memanggilnya dengan macam-macam nama. Bukan itu sahaja, dia turut digelar ‘anak terbuang’ oleh rakan-rakan di sekolah. Pelbagai jenis kebencian yang diterima Liu itu didakwa menjadi penyebab remaja itu membuat keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Sumber: South China Morning Post

SKIP THIS AD ×