Sekadar gambar hiasan
Dua pekerja pembersihan kontrak maut selepas terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Bahru semalam.
2 pekerja maut ketika bertugas
Sekadar gambar hiasan
Insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 12:30 tengah hari semalam iaitu ketika kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan sedang menyelenggara fasiliti milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mangsa yang berusia 34 dan 35 tahun itu dipercayai terjatuh ketika bertugas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian berlaku, cuaca berada dalam keadaan baik dan tidak hujan sepanjang mangsa bekerja membersihkan stadium.
Difahamkan, kedua-dua mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sementara itu, JDT menerusi perkongsian di Facebook (FB) Johor Southern Tigers menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga dua pekerja terbabit. Dalam kenyataan itu juga, JDT memaklumkan sedang menunggu laporan penuh berkaitan kejadian daripada pihak berwajib dan syarikat yang dikontrakkan untuk menyelenggara stadium berkenaan.
Kenyataan kelab JDT
Sumber: Harian Metro, Johor Southern Tigers