Semalam kita dikejutkan dengan berita pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli belah yang terletak di sekitar Kota Damansara.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Akhyar Rashid Dipercayai Disamun, Cedera Di Bahagian Kepala Akibat Dipukul
Pelaku sempat ucap ‘good luck’
Terbaharu, difahamkan perbuatan khianat itu dilakukan oleh dua orang individu tidak bertanggungjawab dengan menaiki motosikal.
Memetik laporan Stadium Astro, Faisal sedang membawa ahli keluarganya di pusat beli belah tersebut sebelum dihampiri oleh dua individu terbabit.
Difahamkan, dua individu tersebut sempat mengucapkan ‘good luck’ kepada Faisal sebelum menyimbah cecair kimia tersebut kepada pemain pasukan Selangor FC itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan hasil penelitian rakaman litar tertutup (CCTV) kawasan berhampiran yang dilakukan pihaknya mendapati nombor kenderaan yang digunakan merupakan nombor kenderaan palsu dan motosikal itu dipercayai motosikal curi.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis dan Faisal sedang mendapatkan rawatan segera di sebuah hospital di Damansara.
Sekadar info, kejadian khianat ini merupakan kejadian yang kedua melibatkan pemain bola sepak kebangsaan.
Terdahulu, pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang dipinjam ke pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid cedera di bahagian kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya yang terletak Icon Residence, Kuala Terengganu pada 3 Mei lalu.
Sumber: Stadium Astro, Sinar Harian