berita

Dua Program Baharu TV3, Remang & Detik 12 Malam Bakal Bikin Malam Korang Penuh Misteri!

August 3rd, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Berpayungkan genre seram, stesen no.1 negara, TV3 bakal menyajikan dua program terbaru yang bercerita tentang hal-hal mistik dan paranormal yang berlaku kepada individu-individu berlainan.

Drama bersiri Remang akan bersiaran menerusi slot tonton Malam Seram setiap Isnin, pukul 11.00 malam, manakala rancangan majalah Detik 12 Malam kembali ke kaca televisyen bermula 5 Ogos, setiap Jumaat, pukul 11.30 malam.

Remang hidupkan kompilasi cerita seram

Dalam satu sidang media yang berlangsung di Scream Park, Sunway Lagoon, dua program tersebut diperkenalkan bermula dengan Remang, drama bersiri 12 episod terbitan Anomali Media Sdn Bhd, diterbitkan oleh Hariff Ahamat dan diarahkan oleh Khairul Rizam, serta hasil nukilan skrip oleh Sofia J. Rhyland, Intan Zarina Mohd Yasin, dan Adza Irdawati Adenan.

Remang merupakan himpunan cerita-cerita seram yang dihidupkan dengan lakonan pelakon handal tanah air seperti Syafie Naswip, Azrel Ismail, Emma Maembong, Chacha Maembong, Aween Ismail, Natasha Elyzza dan ramai lagi.

Setiap episod memaparkan kisah mendebarkan berbeza yang diterima oleh Ejay (Syafie Naswip), seorang DJ radio yang dihubungi oleh rata-rata pendengar yang ingin berkongsi pengalaman mistik dan ghaib mereka di slot program Remang Malam radio tersebut.

Setiap malam Ejay akan mendengar perkongsian mereka dengan penuh teliti, dan memberi kata nasihat atau tips yang bersesuaian dengan pengalaman diceritakan. Antara kisah-kisah yang dipaparkan di dalam setiap episod adalah Dendam Saka, Pakcik Tumpang, Botol Puaka dan lain-lain.

Teaser

 

Detik 12 Malam musim ke-5

Program yang cukup sinonim dengan cerita seram dan gelaran pemburu hantu mereka, Detik 12 Malam yang diarahkan oleh Khirul Fikry Mustafa dan diterbitkan oleh Mohd Jamira Ramli kini kembali dengan musim kelima bersama hos Saiful Azmi Jamsari.

Detik 12 Malam kali ini menemui penonton dengan sedikit kelainan, menyaksikan aktiviti paranormal yang benar-benar dilalui oleh individu-individu lokal, selebriti terkenal dan penyiasat paranormal sebagai tetamu jemputan mingguan untuk berkongsi pengalaman gangguan mistik yang mereka lalui.

Tetamu jemputan yang juga dikenali dalam dunia penyiasatan paranormal dan mistik adalah John Bear, Solo Ambush, Naufal Dark Tourism, dan AY studio.

Detik 12 Malam bakal menayangkan topik-topik menarik seperti penjaga kubur, galeri pameran lama dan kisah pempengaruh tentang misteri rimba rekreasi dan banglo tinggal lama. Tetamu jemputan juga akan turun padang di lokasi siasatan bagi membuat ujian paranormal.

Teaser

Jangan lepaskan kompilasi cerita seram dan kisah paranormal menarik yang akan menaikkan bulu roma anda di dalam drama bersiri Remang menerusi slot tonton Malam Seram, setiap hari Isnin pukul 11.00 malam bermula 1 Ogos dan Detik 12 Malam musim baharu setiap hari Jumaat pukul 11.30 malam bermula 5 Ogos di TV3 dan strim langsung secara HD di tonton.

SKIP THIS AD ×