
Penyanyi Dayang Nurfaizah tidak melihat persembahan di majlis perkahwinan sebagai sesuatu yang menjejaskan kedudukannya dalam industri muzik.
Artikel Berkaitan: Dayang Nurfaizah Terhibur Dengar Sorakan Peminat Minta Kahwin Dengan Hael Husaini
Artikel Berkaitan: Hael Husaini Mohon Maaf, Enggan Jawab Dakwaan Sudah Nikahi Dayang Nurfaizah
Setiap tawaran nyanyian adalah rezeki

Ketika ditemui OhBulan!, Dayang, 44, memaklumkan dia tidak kisah sekiranya ada pihak menganggap dirinya sebagai penyanyi pilihan untuk majlis perkahwinan.
Saya bersyukur kerana itu adalah rezeki apabila orang masih perlukan khidmat saya untuk menjadi sebahagian daripada hari penting mereka.
Menurut penyanyi lagu Senyum Gugur Di Penghujung Doa itu, setiap tawaran persembahan yang diterima mempunyai nilai tersendiri kerana ia menunjukkan penghargaan dan kepercayaan seseorang terhadap bakatnya.
Majlis perkahwinan adalah sesuatu yang penting dan bermakna bagi pasangan raja sehari, jadi saya merasa sangat bertuah dapat menghiburkan pasangan yang diraikan.
Kalau masih perlukan saya, itu rezekilah. Jika ada penyanyi yang tidak memilih ke arah ini, itu pun terpulang kepada hak masing-masing.
Saya memang sangat-sangat bersyukur orang masih nak dengar nyanyian saya di hari istimewa mereka. Tak salahkan?
Dayang berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL 40: The First Look di St Regis Hotel, baru-baru ini.
Dayang ada perancangan buat konsert

Dalam perkembangan lain, Dayang berkata selepas menjayakan showcase Janji With Dayang pada Oktober lalu di KL Tower, dia mengakui mempunyai hasrat untuk kembali beraksi menerusi konsert berskala lebih besar.
Memang ada beberapa penganjur yang datang berbincang, tetapi saya tak nak asal buat saja.
Bagaimanapun, Dayang mahu setiap perancangan dilakukan dengan teliti dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
Konsert adalah sesuatu yang penting untuk seorang penyanyi, jadi kalau nak buat kenalah buat betul-betul.
Kalau nak buat konsert, perlu ada konsep. Saya nak teroka apa lagi yang boleh dipersembahkan pada peminat. Saya mahu konsert itu nanti menjadi seperti apa yang saya impikan selama ini.
Untuk info, Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bertemakan Meraikan 4 Dekad Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia dengan mesej Love Your Legacy Elevate Your Future.
AJL40 akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026, bermula pukul 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.
Sepuluh finalis yang bakal berentap ialah Dayang Nurfaizah (Lemah), Aina Abdul (Kamu), Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa), Wani Kayrie (Cak Cak Cekuk), K.O.I (Tiwikarma), Amir Masdi (Nurcinta), Aisha Retno (Tak Adil), Hazama (Semacam Pandora) serta Ryenald Guntabid menerusi Lumangad Oku Dika.
Naz Rahman dan Sissy Imann sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai hos utama, manakala Fizi Ali dan Fiza Frizzy mengendalikan liputan karpet merah serta belakang pentas.








