Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui rentung dalam sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 yang terbakar semalam.
Maut terperangkap dalam tandas
Memetik laporan Harian Metro, kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kansol dan dua rakan mangsa berusia 15 dan 16 tahun sedang melepak dan bermain permainan video di dalam tandas tersebut. Ketika itu, mangsa dikatakan tertidur di atas sofa di hadapan pintu tandas.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor iaitu Norazam Khamis, dua rakan mangsa kemudian bertindak menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau. Mangsa dikatakan telah terjaga dari tidur dan rakannya memanggil mangsa untuk keluar dari tandas tetapi, dia telah baring semula di atas sofa.
Selepas asap tebal dan api makin besar, dua rakan mangsa lari ke luar tandas, manakala mangsa yang dalam keadaan separa sedar selepas terjaga dari tidur melarikan diri ke dalam tandas.
Melihat keadaan di situ tidak terkawal, dua rakan mangsa dikatakan cuba membantu memadamkan kebakaran namun api semakin besar dan tidak berjaya dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Seramai 19 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati terdapat mayat remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam tandas yang terbiar berkenaan dalam keadaan badannya melecur.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat. Sementara itu, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sumber: Harian Metro