Di balik tirai kemewahan majlis resepsi Amir (Syarul Ezani) dan Emilia (Elizad Sharifuddin) yang gemilang, tersembunyi konflik keluarga yang penuh ketegangan.
Majlis yang dipenuhi dengan gemerlapan dan pujian untuk Emilia, ternyata menyemai benih cemburu dalam diri Azizah (Fauziah Ahmad Daud).
Dengan hasrat yang membara untuk mempertahankan kedudukannya, Azizah mengatur strategi licik untuk menggoyahkan bahtera perkahwinan yang baru dibina, berusaha meruntuhkan kebahagiaan pasangan ini dengan cara yang penuh intrik dan tipu daya.
Artikel Berkaitan: Fauziah Ahmad Daud Mentua Dari Neraka?
Usaha menambat hati tak berjaya
View this post on Instagram
Sejak Emilia memutuskan untuk tinggal bersama mentuanya, dia telah berusaha keras untuk menambat hati Azizah, namun setiap usaha tampak gagal. Pada suatu pagi, Emilia bangun awal untuk menyediakan sarapan, bukan untuk menggantikan tugas Azizah, tetapi sebagai usaha untuk menunjukkan perhatian dan keprihatinannya.
Tindakan ini membuat Azizah marah, kerana dia merasa Emilia cuba mengambil alih peranannya. Husin, yang berselera dengan hidangan sarapan yang dihidangkan oleh Emilia, meluahkan pujiannya, sementara Emilia terus berusaha menyenangkan hati Azizah dengan memuji dapur Azizah yang tersusun rapi dan memudahkan penyediaan makanan.
Ketegangan memuncak apabila Husin secara tiba-tiba menyuarakan harapannya agar rumah mereka tidak lama lagi dipenuhi dengan keriuhan suara cucu-cucu.Azizah, melihat ini sebagai peluang untuk mencetuskan konflik, dengan sinis memperli Emilia tentang kemampuannya untuk memberikan zuriat dek kerana usianya yang semakin meningkat.
Azizah, yang merasa kedudukannya terancam oleh kejayaan menantunya Emilia, semakin berang apabila suaminya, Husin, dan anaknya, Amir, terus-menerus memuji Emilia. Terlebih lagi, apabila Emilia dicalonkan untuk Anugerah Usahawan Muda.
Dengan rasa cemburu yang mendalam, Azizah memperkotak-katikkan Emilia dengan menuduhnya memanfaatkan pengaruh orang dalam untuk meraih kejayaan tersebut.
Tanpa disangka-sangka, Azizah sekali lagi merancang langkah seterusnya untuk menggugat kebahagiaan Emilia dan Amir. Dengan niat tersembunyi, Azizah mendesak Emilia menjalani pemeriksaan kesihatan dan kesuburan, bertujuan untuk meragui kemampuan Emilia dalam memberikan zuriat dan mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga mereka.
Jangan ketinggalan untuk menonton Mentua menerusi slot Lestary malam ini, setiap hari Khamis hingga Sabtu jam 9.00 malam di TV3 atau anda juga boleh strim melalui Tonton.