Pelakon Ellyza Azizi, sama sekali tidak akan menggunakan kontroversi sebagai jalan untuk melonjakkan nama di dalam industri.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Imranul Effendy Doakan Norreen Iman – ‘Saya Tak Berhak Kupas, Itu Soal Peribadi & Sensitif’

Bukan kontroversi

Ketika ditemui OhBulan! Ellyza, 26, menegaskan bahawa dia akan tetap menjaga nama keluarga agar tidak terpalit dengan isu-isu negatif berkaitan dirinya.

Menurut Ellyza, sensasi yang tercetus akan bersifat kekal terutama apabila perkara tersebut tersebar meluas di media sosial.

Kalau ada (pelakon) yang pilih cara begitu (cipta kontroversi) untuk dikenali, teruskanlah. Namun, saya tidak mungkin akan lakukannya.

Jika ada nama saya terpalit dengan kontroversi sekali pun, saya harap ia tidak akan menjejaskan nama keluarga.

Sekali cerita kontroversi dimuat naik di internet, ia akan kekal selamanya. Saya tidak mahu anak-anak saya kelak akan baca cerita kontroversi itu.

Ellyza berkata demikian ketika ditemui di disidang media siri vertikal BRU: Manis & Masin yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.

Dalam pada itu, Ellyza juga mengakui agak sukar untuk bakatnya mendapat perhatian ramai, malah pernah terfikir untuk berputus asa.

Bagaimanapun, Ellyza tetap optimis dengan minatnya sebagai seorang pelakon.

Rasa putus asa itu setiap tahun akan ada, tetapi penghujungnya saya pilih untuk jadi diri sendiri, rancang strategi dan harap orang nampak bakat saya ini.

Mungkin ada pelakon lain yang baru setahun berlakon, nama sudah meletup.

Tapi rasanya saya masih di jalan yang betul dan perjalanan dalam karier seni masih panjang lagi. Dengan fizikal kecil dimiliki, saya masih boleh bawa watak pelajar sekolah.

Dalam perkembangan lain, Ellyza dan aktor, Imranul Effendy bergandingan di dalam drama vertikal tersebut yang akan mula ditayangkan di platform Tonton pada 22 Julai ini.