
Perjalanan seni penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri mencipta satu lagi detik bermakna apabila seramai 600 peminat hadir ke showcase eksklusif ‘A Letter From Ernie Zakri’ yang berlangsung di Stage 1, PJPAC pada Sabtu.
Artikel Berkaitan: Ernie Zakri Ajak Peminat Ber’Dansa’ Walaupun Dalam Kesedihan
Artikel Berkaitan: ‘Waktu Kecil Tidak Kenal Penyanyi Lain Selain Ziana & Anuar, Mereka Inspirasi Saya’ – Ernie Zakri
Jadi pramugari

Berbeza dengan persembahan sebelum ini, Ernie pada showcase tersebut tampil dengan sisi yang lebih dekat dengan peminat iaitu menerusi penceritaan, muzik dan nyanyian.
Setiap lagu yang dibawa bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi medium untuk Ernie berkongsi perjalanan, jatuh bangun serta kisah peribadinya dengan lebih jujur dan terbuka.
Antara momen menarik ketika showcase tersebut adalah perkongsian Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33 tentang kerjaya.
Menurut Ernie, jika tidak berada dalam industri seni, kerjaya di awan biru adalah pilihannya dan sambil berseloroh, mengatakan dia hanya akan melayan penumpang di ‘business class’ sahaja.
Kalau bukan penyanyi, mungkin saya akan jadi pramugari. Saya rasa Ernienators (peminat) tahu saya nak jadi pramugari tetapi nak business class sahaja.
Bagaimanapun, Ernie memilih untuk tetap berada di dalam arena muzik kerana ia sudah menjadi sebati di dalam dirinya sejak dari kecil lagi.
Saya tak boleh bayangkan. Saya dididik dari kecil mengenai seni.
Saya tak pandai buat benda lain selain menyanyi ataupun mungkin di belakang tabir. Saya tak boleh jauh dari muzik sebab ia sangat dekat di hati saya.
Momen bersama peminat
Sementara itu, showcase yang berlangsung selama dua jam tersebut diisi dengan pelbagai momen-momen indah yang pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap peminat yang hadir.
Antara momen istimewa adalah apabila, Ernie memilih untuk mendendangkan lagu duet ‘Kisah Penuh Kecewa’ bersama seorang peminat di atas pentas.
Selain itu, di pertengahan persembahan, terdapat segment sesi menjawab soalan daripada peminat. Ernie memilih beberapa soalan secara rawak dan menjawab pertayaan tersebut yang rata-ratanya mengenai kerjaya dan perkongsian peribadi.
Elemen kejutan turut disuntik semasa showcase ini berlangsung apabila komposer dan produser tersohor Indonesia, Andi Rianto membuat kemunculan istimewa di pentas tersebut. Kehadiran Andi adalah bagi mengiringi nyanyian Ernie untuk sebuah karya terbaharu mereka yang berjudul ‘Perjalanan’.
Pada akhir persembahan, Ernie mendendangkan lagu hits iaitu ‘Masing-Masing’ diiringi dengan tangisan kerana berasa terharu melihat sokongan peminatnya.
Hari ini terlalu indah, seolah-olah saya sedang membuka halaman baharu dalam hidup saya bersama anda semua.
Setiap wajah, setiap senyuman dan setiap tepukan yang saya dengar semuanya adalah kekuatan saya. Terima kasih kerana sentiasa menerima saya dengan hati yang begitu besar.








