Penyanyi, Ernie Zakri mendedahkan dia kehilangan suara pada pagi sebelum berlangsungnya Konsert Satu Suara Vol.3 yang diadakan di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang, Sabtu lalu.
Artikel Berkaitan: Live Selamba Di Tiktok, Ernie & Syamel Sentiasa Curi Tumpuan – ‘Boleh Masuk Maharaja Lawak!’
Artikel Berkaitan: #AJL37: Peminat Menangis Ernie Zakri Tak Menang, Syamel Cakap ‘I Love You’
Hilang suara
Menurut Ernie, beberapa hari sebelum berlangsungnya konsert yang dijayakan bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Jay Jay itu, tekaknya sudah pun merasa tidak selesa.
Susulan itu, Ernie menyedari bahawa dia perlu melakukan sesuatu sebelum bertindak berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan suntikan antibiotik.
Saya sebenarnya kehilangan suara pada pagi sebelum Konsert Satu Suara berlangsung.
Dua tiga sebelum itu pun tekak saya sudah mula rasa tidak selesa. Sepatutnya ada rehearsal pada siang Sabtu tapi saya tidak dapat hadirkan diri.
Saya total lost suara saya, saya sempat mendapatkan bantuan dengan bertemu doktor dan ambil injection, alhamdulillah keluar juga suara saya.
Dengan ada dua orang yang banyak beri semangat pada saya kak Siti dan abang Jay Jay, segalanya dipermudahkan.
Saya bangun pagi, kata dengan suami saya hampir tidak boleh commit, namun alhamdulillah, Allah permudahkan.
Ernie berkongsi mengenai perkara itu ketika sesi sidang media usai persembahannya pada konsert berkenaan.
Tiada plan B
Ditanya adakah dia mempunyai alternatif lain jika berlaku sebarang kemungkinan, isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata, dia tidak mempunyai ‘plan B’, sebaliknya perlu memastikan dirinya tampil di atas pentas konsert tersebut.
Bahasa kasarnya banyak menipu, kami sebagai penyanyi ada cara untuk menyembunyikan.
Sebagai penyanyi saya tahu badan saya, jika tahu hari ini saya tidak boleh, saya akan buat persiapan untuk sembuh dengan cepat.
Dalam kepala saya tiada plan B, saya memang kena menyanyi juga malam itu. Nak atau tidak, perlu dapatkan injection.
Terdahulu, konsert yang dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Production (M) Sdn. Bhd (NSP) berlangsung dengan meriah selama tiga jam dan dihadiri oleh lebih 3,000 penonton.
Pada konsert tersebut, Ernie telah menyampaikan beberapa untaian lagu hits miliknya seperti Boneka, Ku Bersuara, Astana, Korban dan banyak lagi.
Konsert Satu Suara Vol.3 merupakan usaha yang dilakukan oleh Yayasan Nurjiwa yang dimiliki oleh Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa bagi mengumpul dana untuk rumah kebajikan tersebut.