Pelakon, Ezlisa Loy enggan memanjangkan isu busana perkahwinannya yang dikatakan mirip dengan gaun persandingan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir iaitu Ally Mukhriz.

Artikel Berkaitan: Dengan Sekali Lafaz, Ezlisa Loy Sah Bergelar Isteri Hafiz

Artikel Berkaitan: Majlis Perkahwinan Ezlisa Loy & Hafiz Dipuji Unik

Tutup buku

Ezlisa, 29, berkata, dia tidak menyangka perkara itu menjadi perdebatan wargamaya dalam media sosial.

Isunya tak besar tapi cuma apa yang saya nak ketengahkan adalah kerja keras seseorang, orang yang buatkan baju saya dan saya hanya nak gembira pada hari bahagia saya. 

Saya takut nak bagi kenyataan sebab boleh jadi positif atau negatif. Saya pun baru berkahwin jadi saya nak jaga nama keluarga saya dan suami saya, tak nak bagi banyak kenyataan.

Ezlisa berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Thariq Ridzuwan: His Treasure dan Mandul Bukan Pilihan yang diadakan di ibu kota pada Rabu.

Berkongsi lanjut, adik kepada aktres Elfira Loy berkata dia mengambil inspirasi untuk busananya daripada aplikasi Pinterest.

Saya terkejut sebab bila dah kahwin saya risau orang cakap buruk fasal perkahwinan saya. 

Setiap hari saya doa tiada sebarang benda negatif mengenai perkahwinan saya. Kalau boleh tak nak apa-apa pergaduhan. 

Saya rancang semua untuk baju itu dan saya ambil inspirasi daripada Pinterest. Kain pula saya dapat daripada Rizman Ruzaini.

Dalam pada itu, Ezlisa memberitahu kakaknya ada menitipkan kata-kata semangat dan memohon maaf jika ada khilaf daripada pihaknya.

Dia ada bagi nasihat, sebagai kakak dia bersifat ‘protective’ (sangat melindungi). Kakak cakap bergembira di hari bahagia saya, jangan emosi sangat. 

Kalau ada terasa daripada pihak kami, saya mohon maaf supaya tak besarkan isu ini. Jangan gaduh fasal baju.

Terdahulu, kecoh dalam media sosial mengenai Ezlisa yang menggaya busana tradisional songket rona biru muda disulami manik berwarna merah jambu dikatakan meniru busana perkahwinan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Situasi semakin hangat apabila pereka fesyen busana Ally iaitu Fizi Woo dilihat turut memberi reaksi terhadap hantaran dimuat naik oleh Ally seolah-olah memerli hasil rekaannya diciplak.

Bagaimanapun, Ezlisa berkongsi bahawa busana tersebut diinspirasi daripada pereka fesyen antarabangsa yang berasal dari Filipina, Michael Cinco. 

Tidak mendiamkan diri, Elfira selaku kakak mempertahankan adik kesayangannya termasuk memuat naik sepotong ayat berbaur sindiran dalam Threads.