Pelakon terkenal, Fattah Amin, menganggap reaksi anaknya, Fatima Aisya yang dikatakan merajuk sebagai sesuatu yang normal bagi kanak-kanak seusianya.
Artikel Berkaitan: Fattah Amin Kongsi Foto & Video Mesra Bersama Anak, Netizen Komen – ‘Sebenarnya Fatima Ketagihkan Perhatian Daddy’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fazura Lembut Tegur Fatima, Jawapan Spontan ‘I Don’t Love Daddy Anymore’ Curi Perhatian
‘Mungkin dia merajuk’
Ketika ditemui OhBulan!, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, luahan spontan anaknya ketika bersiaran langsung di TikTok baru-baru ini adalah satu perkara di luar jangkaan lebih-lebih lagi apabila usianya yang masih kecil.
Budak umur empat tahun, kita tak boleh jangka apa yang dia akan cakap. Saya rasa itu perkara biasa… mungkin dia merajuk.
Fattah mengulas perkara tersebut selepas tular sebuah video yang menunjukkan Fatima meluahkan bahawa dia tidak menyayangi bapanya ketika sesi siaran langsung.
Fattah berkata demikian ditemui ketika menghadiri majlis Meet and Greet bersama produk Jakel yang berlangsung di Shah Alam pada Sabtu.
‘Saya dan Fatima banyak berbual’
Sementara itu, pelakon filem Pendekar Awang ini turut menafikan wujud sebarang masalah dalam hubungan mereka. Ujar Fattah lagi, dia baru sahaja bertemu dengan anaknya pada Jumaat dan tidak melihat sebarang tanda seperti yang digembar-gemburkan.
Bila kami berjumpa, saya tak nampak reaksinya seperti dalam video yang tular. Kami banyak berbual.
Meskipun keadaan sekarang tidak seperti dahulu, namun hubungan kami masih kuat. Saya tak rasa ada jurang antara kami.
Saya dan Fazura (bekas isteri) juga cuba sebaik mungkin untuk membuat Fatima memahami situasi yang berlaku sekarang.
Fattah turut menegaskan bahawa dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memuat naik video tersebut sehingga menjadi tular di media sosial. Namun, dia berharap agar tidak timbul sebarang spekulasi atau tohmahan hanya kerana video pendek itu.
Saya tak tahu apa niat orang yang memuat naik video tersebut. Saya harap tiada lagi kecaman. Doakan yang baik-baik.
Untuk rekod, Fatima merupakan anak hasil perkahwinan Fattah bersama pelakon Nur Fazura.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai dengan talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.