Pelakon dan usahawan Nur Fazura enggan menjelaskan secara terperinci mengenai perkongsian di TikTok miliknya yang seakan meluahkan rasa kecewa dan berkecil hati terhadap seseorang.
Kecil hati
Ketika ditemui OhBulan! Fazura berkata hal tersebut terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.
Maaf saya tak boleh komen. Itu peribadi. Saya tak boleh nak kongsikan. Kita buat semuanya kerana Allah.
Mungkin sesetengah manusia itu susah untuk berterima kasih, dan ada isu-isu yang membuatkan saya berkecil hati sedikit.
Saya sekarang nak hidup tenang jadi apa-apa perkara yang buat saya terganggu, saya mahu elakkan. Itu lebih baik daripada orang berkecil hati.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada Program Kolabrasi Kelestarian Korprat sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (MITEC), pada Jumaat.
Tambah isteri kepada aktor Fattah Amin itu lagi, dia ketika ini hanya mahu hidup tenang dan memberi keutamaan kepada diri dan keluarganya.
Saya nak hidup tenang dan tak mahu tertekan. Saya punya keutamaan sekarang ini adalah melindungi ketenangan saya.
Yang buat saya tertekan saya perlu jauhkan diri, seperti kawan-kawan atau keluarga jauh yang memberikan kekecewaan itu terpaksa saya jauhkan diri.
Sebab saya perlu melindungi ketenangan. Saya sudah buat bahagian saya. Itu sudah mencukupi.
Terdahulu, perkongsian di TikTok milik Fazura menimbulkan tanda tanya orang ramai apabila dia seakan meluahkan rasa kecewa terhadap seseorang.
‘Kempen tukar lama jadi baru’
Dalam pada itu, Fazura turut melancarkan kempen ‘Tukar Lama Jadi Baru’ yang mana pengunjung MIHAS boleh menukar tudung lama mereka dan kemudian diberikan baucar untuk mendapatkan tudung baharu.
Kata Fazura, sebelum ini kempen tersebut berjaya mengutip sebanyak 30,000 helai tudung dan kali ini pihaknya menyasarkan sebanyak 200,000 helai tudung.
Sementara itu, aktres berusia 40 tahun itu juga meluahkan rasa syukur dan bangga apabila dapat berkolabrasi dengan MATRADE.
Alhamdulillah, ini adalah kolaborasi pertama bersama MATRADE dan kami dipilih menjadi rakan korporat kelestarian.
Kami juga mengadakan kempen penyerahan tudung lama, yang mana orang ramai boleh menyerahkan tudung mereka yang masih dalam keadaan baik kepada kami, untuk kami serahkan kepada golongan yang memerlukan.
Sesiapa yang menyerahkan tudung-tudung itu, akan menerima baucar dan tudung dari kami. Tahun lalu kami berjaya kutip 30,000 helai tudung, dan tahun ini kami sasarkan 200,000 helai tudung.
Insya-Allah kami memang niat nak membantu mereka yang tidak mampu membeli tudung. Semoga program seperti ini dapat membantu lebih ramai wanita di luar sana untuk bertudung.