Pelakon dan usahawan Nur Fazura memberitahu dia mahu mengembangkan bakat lakonannya dengan membintangi sinetron di negara jiran, Indonesia.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fazura Tamatkan Spekulasi Isu Rumah Tangga Bergolak – ‘Saya & Fattah Okey’
Nak cuba sinetron pula
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Fazura berkata, dia mahu mencipta kelainan dalam karier seni dan mencuba sesuatu yang baru. Ujar Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, sebelum ini dia pernah membintangi enam buah filem di negara berkenaan. Oleh sebab itu, dia mahu beralih tumpuan kepada drama rantaian pula.
Saya nak cuba sinetron pula, bagi saya kalau nak kembangkan kerjaya memang perlu buat sesuatu yang lain. Sebelum ini saya sudah membintangi lima atau enam buah filem di sana, tapi sekarang saya nak sinetron.
Filem memang besar tetapi sebenarnya pasaran terbesar di Indonesia itu adalah sinetron.
Tambah isteri kepada pelakon Fattah Amin ini lagi, dia sudah pun menerima tawaran berlakon di sana namun, masih dalam fasa pertimbangan. Jelas Fazura, dia perlu melakukan pertimbangan kerana berasa berat hati untuk meninggalkan keluarga di Malaysia.
Dah dapat tawaran tapi saya perlu berfikir panjang sebab sinetron sampai beratus atau beribu episod. Saya tak sanggup nak tinggalkan anak dan suami. Komitmennya sangat tinggi dan perlu bersedia mental dan fizikal.
Berbicara lebih lanjut, Fazura akui bukan mudah untuk seseorang artis membintangi sinetron. Enggan menjadikan ia sebagai halangan, Fazura tetap mahu mencabar diri dan kemampuannya sebagai pelakon.
Ramai rakan selebriti di Indonesia berkongsi mengenai cabaran sepanjang penggambaran drama sinetron. Mereka tak percaya bila saya beritahu yang saya teringin berlakon sinetron. Mereka tahu macam mana susahnya berlakon sinetron, bayangkan satu episod boleh selesai dalam satu hari saja.
Setiap hari bangun tidur terus kerja dan kerja, macam tiada hidup tetapi itulah cabarannya dan saya teringin nak cuba.