berita

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang Telan Kos RM13 Juta

January 31st, 2023 | by Zulaikha
Kini Trending

Mengetengahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjaga keselamatan perairan negara, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan Allahyarham Pitt Hanif sarat dengan aksi mendebarkan yang pastinya menyentuh emosi untuk menarik penonton ke pawagam.

Artikel Berkaitan: Lawan Perasaan Takut, Saharul Ridzwan Sahut Cabaran Terapung Di Tengah Laut Selama Sejam

Kos mahal

Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu menampilkan gandingan hebat dua aktor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Penerbitnya, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, perancangan menerbitkan filem yang membabitkan kos sebanyak RM13 juta itu bermula sekitar 2017.

Saya bersama Penerbit Eksekutif, Flying Deals Sdn Bhd, Rozita Mat Isa dan Jason Chong selaku penulis skrip mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem. Kemudiannya, skrip dihasilkan dengan bantuan dan nasihat Maritim Malaysia melalui beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan.

Selepas mendapat kelulusan dan mendapat dana untuk projek filem kenegaraan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), kami mula mencari rakan penerbit untuk memulakan penggambaran.

Akhirnya, kami bertemu dengan penerbit, Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem ini.

Tiga bulan penggambaran

Muhammad Hady Yusry berkata, penggambaran filem Coast Guard bermula pada 3 Ogos dan berakhir pada 24 Oktober 2019.

Filem ini mula diarahkan pengarah Hashim Rejab dengan dibantu Allahyarham Pitt ketika itu. Bagaimanapun, Hashim terpaksa menarik diri kerana ada komitmen lain dan arwah Pitt mengambil alih mengarahkan filem sepenuhnya sehingga penggambaran selesai.

Penggambaran filem mengambil masa selama 55 hari, membabitkan lokasi penggambaran sebanyak 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah. Selebihnya di Kuantan dan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang.

Mengulas penggambaran filem, kata Muhammad Hady Yusry, lebih seratus barisan pelakon dan kru termasuk pegawai khas dari Maritim Malaysia terbabit dalam penggambaran filem ini.

Naskhah ini membabitkan kos tinggi kerana penggunaan aset ketenteraan iaitu tiga kapal besar, empat helikopter, 10 bot laju dan kelengkapan senjata api dan ‘machine gun’.

Bagi menghidupkan babak, kami membina perkampungan lanun yang terpaksa diletupkan pada penghujung cerita dengan membabitkan kos RM400,000.

Saharul dan Julia juga menjalani sesi latihan ketat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) selama sebulan membabitkan aspek protokol, penggunaan senjata api, perlawanan dan sebagainya lagi.

Keadaan cuaca di laut

Mengenai cabaran menghasilkan filem, kata Muhammad Hady Yusry, pihaknya berdepan dengan keadaan cuaca yang buruk termasuk ribut taufan yang melanda sepanjang penggambaran di Pulau Langkawi.

Sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang pemasaran dan penerbitan filem, penggambaran filem Coast Guard adalah paling mencabar. Barisan pelakon dan kru terpaksa berkampung selama tiga bulan dalam kapal besar yang berlabuh di tengah laut untuk penggambaran filem.

Kami juga perlu melihat jadual penggunaan aset ketenteraan Maritim Malaysia dengan keadaan cuaca, selain aset sedia ada perlu digunakan dalam operasi Maritim.

Sehari selepas penggambaran selesai, arwah Pitt pula meninggal dunia. Rozita dan Arie terpaksa menyambung kerja penggambaran lagi dua peratus di lokasi darat pula.

Bayangkan, kami terpaksa mengambil alih tugas pengarah untuk menvisualkan semula untuk proses suntingan akhir filem ini.

Tidak ketinggalan, Muhammad Hady Yusry berkata, barisan pelakon utama turut berdepan detik mencemaskan ketika penggambaran babak aksi filem itu.

Saharul berdepan detik mencemaskan dan hampir lemas di tengah laut ketika menunggu diselamatkan helikopter. Julia juga hampir lemas kerana topeng selam tercabut ketika menjayakan sesi latihan dalam air di AMSAS.

Mujurlah pasukan penyelamat cekap bertindak bagi membantu menyelamatkan mereka.

Ditanya sasaran kutipan filem, kata Muhammad Hady Yusry, hasil tinjauan dan maklum balas daripada pelbagai pihak dan pawagam, filem ini berpotensi mendapat sambutan hebat seperti filem Paskal dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Saya juga mensasarkan filem ini akan mencecah kutipan sebanyak RM20 juta di pawagam nanti.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang edaran Metrowealth International Group dan disokong FINAS, Primeworks Studios dan Media Prima Berhad. Tajaan membabitkan MyDebit, Peynet dan Starbucks.

Ia bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 2 Februari ini, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

SKIP THIS AD ×