Penerbit filem Man On The Run iaitu Fabian W. Joseph menjelaskan tujuannya menerbitkan naskhah berkenaan bukan untuk memburukkan nama Malaysia.
‘Kisah sebenar’
Ketika ditemui OhBulan!, Fabian berkata dia sebaliknya mahu menceritakan perkara sebenar yang terjadi dalam negara melalui naskhah tersebut.
Malah, Fabian menyatakan dia dan pasukannya tidak menerima sebarang ugutan sepanjang proses menyiapkan filem dokumentari mengenai skandal 1 Malaysian Developemnet Berhad (1MDB) itu.
Tujuan kami membuat filem ini bukan untuk menunjukkan keburukan Malaysia tetapi hanya mahu menceritakan kisah sebenar yang berlaku dalam negara ini.
Setakat ini kami tidak menerima sebarang kecaman daripada sesiapa, walaupun kami sedar filem ini sangat berisiko. Bagaimanapun kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
Fabian berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Man On The Run yang diadakan di GSC Midvalley, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Fabian akui terkejut apabila filem itu diluluskan sepenuhnya oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan dibenarkan untuk ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Pihak kami telah melalui proses standard yang ditetap oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan jujur kami tidak dapat sebarang bantahan atau potongan, itu membuatkan kami agak terkejut juga.
Awalnya kami rasakan filem ini mungkin tidak akan lulus untuk ditayangkan di pawagam Malaysia, tapi akhirnya kami dibenarkan.
Filem ini harus ditonton terutama kepada rakyat Malaysia dan anak-anak muda yang mungkin tidak tahu tentang jenayah rasuah terbesar yang pernah berlaku di negara ini.
Cabaran
Sementara itu, ketika disoal mengenai cabaran terbesar yang dihadapi, pengarah Man On The Run iaitu Cassius Michael Kim berkata kisah skandal berprofil tinggi ini perlu digarapkan sebaiknya memandangkan ia melibatkan beberapa tokoh Malaysia.
Pada saya, cabaran terbesar adalah macam mana untuk garap kisah sebenar ini ke dalam sebuah filem. Potongan pertama sahaja mengambil masa selama empat jam.
Selain itu, kami juga mengalami kesulitan untuk menetapkan jadual dan mendapatkan masa dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.
Man On The Run mendedahkan kisah benar yang mengejutkan tentang rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara.
Filem ini turut membabitkan Jho Low, seorang ahli perniagaan misteri serta playboy dengan merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.
Man On The Run kini sudah mula ditayangakan bermula 19 Oktober 2023.