berita

Filem Pertama Zizan Nin ‘Sazali Meor Coco’ Dapat Reaksi Positif

November 24th, 2023 | by Hazirah
Kini Trending

Menekankan isu kritikan sosial yang dihadapi generasi muda, filem pertama arahan Zizan Nin berjudul Sazali Meor Coco mendapat reaksi positif penonton.

Artikel Berkaitan: Zizan Nin Jawab Dakwaan Hidap Kanser – ‘Sebenarnya Kolestrol Saya Terlalu Tinggi..’

Zizan Nin terharu

Biarpun ada yang menganggap filem Sazali Meor Coco penuh kemarahan, sarat sindiran dan banyak rempah ratus, namun rata-rata penonton menerima isu yang diketengahkan dalam naskhah pertama terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu.

Sazali Meor Coco yang menampilkan bintang baharu seperti Syazani Zikry (Sazali), Coco (Iman Zulkarnanin) dan Meor (Shah Radhy) bukan filem ‘cliche’, namun dilihat sebagai taruhan berani, segar, ‘trensetter’ dan hiburan mendidik selepas dipertontonkan pada malam gala, baru-baru ini.

Zizan berkata, dia terharu menerima reaksi positif penonton.

Saya bersyukur mendapat rebiu positif penonton.

Paling terharu, ada penonton yang berjaya kupas isu yang saya ketengahkan dalam filem dengan terperinci. Tema bergenre drama dan kritikan sosial bukan hiburan semata-mata, tetapi ada mesej sebaliknya.

Sebagai pengarah dan penerbit, saya juga sudah dirisik oleh beberapa pihak yang ingin menganjurkan tayangan ekslusif di beberapa forum dan sesi akademik.

Ini kerana isu yang diketengahkan relevan dengan realiti kehidupan hari ini. Sebenarnya, itulah cabaran saya mengarahkan filem ini, di mana saya perlu mencari titik temu untuk mengetengahkan ‘pressing issues’.

Ujar Zizan lagi, dia juga terharu mendapat reaksi positif penggiat industri perfileman seperti Datuk Mahyidin Mustakim, Datuk Jurey Abdul Latiff, Zed Zaidi dan ramai yang hadir memberi sokongan pada malam gala.

Mereka menganggap filem Sazali Meor Coco ada kelainan dalam penyampaian mesej, selain diselitkan dengan lagu-lagu yang menghiburkan.

Ada juga menyifatkan filem ini menyelitkan banyak pengajaran, maksud mendalam dan dapat menggarap bakat tiga pelakon baharu dengan baik.

Ditayangkan di Korea

Selain itu, filem Sazali Meor Coco ditayangkan di Asian Content & Film Market (ACFM), Busan, Korea pada 7 hingga 10 Oktober yang lalu sempena Busan International Film Festival.

Zizan tak nafikan, cabaran tetap ada dalam menyampaikan isu-isu berat dengan cara santai, ringan dan boleh diterima.

Saya sengaja memilih paparan realiti kehidupan hari ini dengan mengetengahkan isu gelandangan, penderaan kanak-kanak, warga emas yang terpinggir, kemiskinan bandar, media sosial yang menjadi sebahagian kehidupan generasi kini, selain isu di belakang tabir.

Penerima trofi Pelakon Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 pada 2007 itu berkata, dia sudah melihat banyak hantaran dalam media sosial mengenai filem Sazali Meor Coco.

Saya terharu ramai TikTokers, warganet dan penonton mula mengupas mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini.

Saya tak kisah dikritik dan terima dengan hati dan minda terbuka. Bagi saya, itu lumrah dan hak masing-masing dalam menyuarakan pandangan.

Saya juga ada membaca hantaran mengkritik poster filem. Apa yang boleh saya katakan, ini adalah karya kreatif, jadi ‘dont judge the book by it’s cover’.

Sazali Meor Coco menceritakan tiga beradik iaitu Sazali, Coco dan Meor berhijrah ke bandar untuk mencuba nasib menjadi bintang terkenal.

Namun, impian yang ingin dicapai bukan mudah kerana mereka perlu berdepan pelbagai dugaan.

Mempertaruhkan tiga bakat baharu sebagai watak utama, Zizan berkata, dia mahu melahirkan lebih ramai pelakon pelapis.

Bagi Zizan, apa yang penting adalah komitmen dalam menjayakan watak.

Saya tak pandang populariti, sebaliknya semua barisan pelakon perlu datang uji bakat. Saya tidak kira sama ada pelakon nama besar atau bakat baharu.

Ini kerana mereka perlu memberikan komitmen 100 peratus. Filem adalah projek besar dan serius.

SKIP THIS AD ×