Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim memberitahu bahawa pihaknya bakal bertemu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mencari kesepakatan mengenai isu cetak rompak dan hak cipta filem tempatan.
Artikel berkaitan: ‘Apabila Filem Bocor, Saya Perasan Finas Macam Diam Saja’ – Syamsul Yusof
Bincang pemberian punca kuasa
Tambah Nasir, pihaknya berharap akan mendapat punca kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti jenayah sedemikian.
Seperti kita tahu, isu cetak rompak adalah isu berterusan dan Finas sebenarnya tiada kuasa untuk ambil tindakan tegas. Akta-akta mengenai jenayah sebegitu jatuh pada kuasa KPDNHEP. Justeru, Finas akan mengatur pertemuan dengan KPDNHEP dalam masa terdekat bagi membincangkan pemberian punca kuasa itu. Kami berharap Finas akan ada kuasa undang-undang dan kompaun terhadap pesalah cetak rompak.
Secara praktiknya, Finas hanya medium untuk melaporkan aduan kepada pihak KPDNHEP untuk cetak rompak fizikal. Manakala kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bahagian atas talian.
Diminta untuk mengulas kenyataan pengarah, Syamsul Yusof, Nasir menjelaskan bahawa Finas tidak pernah mengabaikan usaha itu bahkan sebenarnya berusaha mencari jalan terbaik. Bagaimanapun, Nasir akui kepesatan cetak rompak secara maya sememangnya sangat mencabar.
Syamsul mungkin keliru pada bahagian itu kerana apapun, kuasa tetap dipegang KPDNHEP. Pengarah Mawi pun ada beberapa kali membuat laporan kepada Finas dan ditangani segera sebelum ini. Cumanya, kalau pesalah cetak rompak fizikal serta barangan mereka boleh ditangkap serta disita. Tapi besar cabaran jika membabitkan atas talian seperti menerusi Telegram dan saluran lain untuk dikesan.
Sumber: Harian Metro