Mengambil inspirasi daripada Kesatuan Perfileman Eropah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang merangka cadangan mewujudkan gerakan Kesatuan Perfileman Asean.
Artikel Berkaitan: Filem ‘Indera’ Lakonan Shaheizy Sam & Azira Shafinaz Dipilih Sebagai Filem Pembukaan Festival Filem Asia Pasifik Ke-61
Boleh hasil naskhah seni dan filem yang berjaya
Menurut pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman, model terbabit mampu meluaskan rangkaian kerjasama antara pembikin filem 11 negara anggota Asean sekali gus dapat meraih keuntungan.
Model yang digunakan di Eropah sudah terbukti berkesan membantu mempererat industri perfileman di sana. Bukan saja perfileman, tetapi juga segala aspek kesenian disatukan di bawah model terbabit.
Walaupun setiap negara mempunyai bahasa berbeza, tetapi masih boleh menghasilkan naskhah seni dan filem yang berjaya.
Saya percaya, kita di bawah Asean yang mempunyai pelbagai keunikan dan kebudayaan juga mampu mengikut jejak mereka.
Tambah Kamil lagi, Finas sedang mengumpul data dan segala maklumat berkaitan akan dibentangkan pada pihak kerajaan di Persidangan Kemuncak Asean ke-45 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun depan.
Kembangkan aspek ekonomi dan pemasaran
Kamil yang ditemui pada sidang media Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) di Puchong, baru-baru ini, turut mengakui sekiranya kesatuan itu berhasil pada masa hadapan, ia mampu mengembangkan capaian dari aspek ekonomi dan pemasaran serantau.
Proses pengumpulan data sedang dilakukan pihak Finas buat masa ini. Saya juga percaya, acara itu adalah peluang keemasan untuk kita kemukakan cadangan itu.
Saya juga ada bertemu dengan beberapa penerbit filem dari sekitar Asean dan mereka bersetuju dengan cadangan itu.
Kita melihat dari segi pertukaran bakat, tenaga produksi, bajet, pemuzik, pengarah dan sebagainya.
Selain itu dari segi pemasaran pula, filem kita mampu dipasarkan lagi dengan lebih meluas di negara Asean dan tidak tertumpu cuma dalam negara saja.
Sebagai contoh, filem Thailand dan Indonesia yang senang dapat dipasarkan dan mendapat sambutan di sini. Jadi saya yakin, kita juga boleh melakukan perkara yang sama di bawah model ini,” katanya.