
Penyanyi, Fitri Haris tampil membuat laporan polis selepas mendakwa penganjur konsert This Is UNIC masih gagal melunaskan baki bayaran kepada kumpulannya iaitu UNIC meskipun sudah lebih empat bulan acara itu berlangsung.
Artikel Berkaitan: ‘This Is UNIC: Live In Concert’ Bawa Peminat Menyusuri Perjalanan Muzik Lebih Dua Dekad
Bayaran tertunggak
Menerusi hantaran di Instagram, Fitri atau nama lengkapnya Mohamad Fitri Mohamad Haris, 41, berkata pihaknya sudah memberikan tempoh tertentu sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk melalui saluran undang-undang.
Satu laporan polis dibuat beberapa bulan lalu sebelum saya berangkat ke UK (United Kingdom) bagi tindakan selanjutnya.
Berkenaan konsert This Is UNIC di Idea Live, urusan lain di peringkat pending LOD (surat tuntutan) dan atas budi bicara kami @unicofficials.
Konsert dah berlalu lebih empat bulan, bayaran masih belum diselesaikan sepenuhnya, penaja selesai, duit diambil, duit tajaan, duit tiket. Selesaikan cepat, seminggu notis.
Tambah Fitri, dia bersama anggota UNIC telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjayakan konsert berkenaan, namun usaha mereka seolah tidak dihargai apabila isu bayaran masih berlarutan.
Meskipun berdepan situasi tersebut, Fitri mengakui masih memberi ruang kepada pihak penganjur untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.
Kami bekerja pagi, petang, siang dan malam menghiburkan serta berkongsi kebaikan. Semoga Allah buka hati penganjur konsert @thisisunic dan saya masih ada perasaan untuk anak dan isteri kamu.
Terdahulu, konsert This Is UNIC dianjurkan bagi meraikan lebih dua dekad perjalanan kumpulan nasyid popular itu dan berlangsung di Idea Live Arena Damansara pada 20 Disember 2025.
Sumber: Instagram