Nak jadi atlet ni bukan perkara yang mudah. Kalau tak cukup semangat dan usaha memang tak dapat nak capai cita-cita ni. Nak jadi atlet sekolah pun susah inikan pulak nak jadi atlet negara kan?
Macam-macam yang perlu ditempuhi tapi ramai tak tahu apa kelebihan menjadi atlet di negara Malaysia ni? Ha kalau korang nak tahu, sempena Hari Sukan Negara tahun ni, Kementerian Belia dan Sukan ada fokus baru untuk para atlet ni!
Pembangunan industri sukan mampu beri pulangan lumayan buat atlet & orang ramai!
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, antara kelebihan yang boleh dinikmati atlet menerusi industri sukan ini adalah merancang sumber pendapatan mereka terutama selepas bersara sekaligus memberi ruang kepada kementerian untuk memberi tumpuan kepada aspek kebajikan atlet.
Perancangan ini sedang cuba dilaksanakan dan diterima baik oleh Perdana Menteri. Malahan, perancangan ini telah pun disebut dalam RMK12 iaitu yang pertama, industri sukan ini boleh menjana pendapatan kepada diri kita dan juga menjana pendapatan cukup besar kepada negara.
“Kedua, apabila kita tahu industri sukan ini boleh menjana pendapatan yang begitu besar, maka kita tentu memberi fokus kepada kebajikan atlet kita.”
“Jana pendapatan menerusi keharuman nama mereka”
Ketika Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Menara KBS itu juga, beliau menyarankan agar para atlet bukan sahaja yang sudah bersara, untuk menjana pendapatan menerusi keharuman nama mereka itu dengan satu jenama yang boleh membawa keuntungan kepada diri mereka dan sukan yang diwakili.
Mesti korang ada nampak ramai atlet kita seperti Datuk Lee Chong Wei, Lee Zi Jia atau Datuk Nicol Ann David yang menjadi duta bermacam-macam produk di media sosial kan? Ha ini merupakan antara contoh yang terbaik bagaimana atlet boleh menjana pendapatan semasa menjadi atlet atau selepas bersara.
Atlet juga boleh melibatkan diri dalam perniagaan industri sukan
Kebajikan bekas atlet juga akan dititikberatkan dan mereka boleh didorong untuk membabitkan diri dalam perniagaan dalam industri sukan.
Perniagaan dalam industri sukan yang dimaksudkan adalah seperti para atlet boleh membantu atlet-atlet muda dengan membuka akademi, menjadi jurulatih dan sebagainya.
Dalam majlis tersebut juga, Ahmad Faizal turut menjelaskan yang KBS bersama Kementerian Kewangan sedang mencari alternatif terbaik bagi membantu pengusaha industri sukan yang terjejas akibat penularan COVID19.
Jom sama-sama kita sokong insiatif terbaru dari KBS ni! Lepas ni kalau ada kenalan kita yang nak jadi atlet dah tak perlu risau, akan ada bimbingan untuk mereka!